Wakil rakyat AS bidas kenyataan Trump

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A

WASHINGTON - Beberapa wakil rakyat parti Republikan semalam menafikan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang juga daripada parti itu bahawa terdapat penipuan undi dalam pilihan raya Presiden negara itu.

Menurut portal berita NBC, wakil rakyat parti tersebut, Will Hurd yang mewakili Texas dalam Dewan Perwakilan AS menyatakan, kenyataan Trump itu amat berbahaya dan boleh menjejaskan proses politik di negara berkenaan.

Hurd yang tidak bertanding semula dalam pilihan raya bagi memilih anggota dewan itu kali ini juga berkata: "Ia menjejaskan setiap asas yang telah dibina untuk negara ini. Setiap undi rakyat Amerika seharusnya dikira."

Semalam, Trump yang ketinggalan undi elekoral di belakang pencabarnya, Joe Biden daripada parti Demokrat mendakwa berlaku penipuan undi di beberapa buah negeri.

Beliau yang tidak mengemukakan bukti semasa membuat dakwaan tersebut pada sidang akhbar di Rumah Putih, Washington D.C berkata: "Ini ialah kes yang mana mereka cuba mencuri pilihan raya."

Trump bercakap pada sidang akhbar itu selama kira-kira 15 minit dan terus keluar tanpa menjawab sebarang soalan daripada pemberita.

Seorang wakil rakyat di Dewan Perwakilan juga daripada parti yang sama dengan Trump, Adam Kinzinger berkata: "Jika anda (Trump) mempunyai kebimbangan mengenai peraturan tentang penipuan (pilihan raya) kemukakan bukti dan bawanya ke mahkamah.

"Hentikan sebarkan maklumat yang salah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, Biden memperoleh 264 undi elektoral berbanding Trump yang mendapat 214 undi. Seseorang calon Presiden AS perlu mendapat 270 undi elektoral untuk memenangi pilihan raya tersebut sekali gus menjadi Presiden negara itu.

Setakat ini pengiraan undi masih berlaku di beberapa buah negeri. - Agensi