Jual motosikal curi serendah RM300

Baharudin (kanan) memeriksa motosikal curi yang disita.
Baharudin (kanan) memeriksa motosikal curi yang disita.
A
A
A

DUNGUN - Hanya dengan harga serendah RM300 hingga RM500, pembeli dapat memiliki sebuah motosikal.

Itu harga lumayan ditawarkan pencuri motosikal di daerah ini dan bagi mengelak kegiatan haram dikesan pihak berkuasa, pencuri menyasarkan warga asing khususnya yang bekerja di kawasan ladang dan pedalaman sebagai pembeli.

Bagaimanapun, kegiatan tersebut dapat dihidu pihak polis yang berjaya membongkar modus operandi digunakan ketika Ops Lejang 2019 dilancarkan di seluruh daerah Dungun, semalam.

Ops besar-besaran berkenaan dijalankan hampir 18 jam bermula 7.30 pagi hingga 12.00 malam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujudnya sindiket geng curi motosikal di daerah ini yang menyasarkan warga asing sebagai pembeli

Menurutnya, harga ditetapkan terlalu rendah jika dibandingkan dengan nilai pasaran.

"Dalam operasi ini, dua lelaki warga asing dari Thailand dan Indonesia ditahan di kawasan ladang di Bukit Besi serta Paka.

"Kedua-dua mereka ditahan kerana memiliki motosikal curi.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga mengaku membeli motosikal berkenaan dengan harga RM 500 ke bawah," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 30 an.

"Salah seorang suspek adalah pendatang tanpa izin memandangkan pasport sudah melepasi tarikh luput.

"Pencuri motosikal menyasarkan mereka kerana mudah untuk melakukan urusan jual beli dan biasanya motosikal digunakan dalam kawasan ladang.

"Kedua-dua ditahan untuk siasatan lanjut dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1963 kerana memiliki pasport tamat tempoh," katanya.

Beliau berkata, lima lagi lelaki berusia 20 hingga 30 tahun turut ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

"Mereka ditahan kerana memiliki motosikal meragukan yang nombor chasis dan enjinnya disyaki diubahsuai.

"Kita percaya, ada di antara yang ditahan tidak menyedari keraguan yang terdapat kenderaan itu yang dibeli terus dari penjual di bengkel," katanya.

Baharudin berkata, ops yang dijalankan adalah operasi khas diatur di peringkat IPK dan Dungun dipilih sebagai lokasi pertama.

"Sebanyak 517 buah motosikal diperiksa sepanjang ops berlangsung.

"Hampir 100 lokasi diserbu dan dilakukan sekatan jalan dan seramai 164 anggota terlibat menggerakkan ops ini," katanya.