PKPB di Mukim Jimah mulai esok

Aminuddin (kanan) menunjukkan peta kawasan Mukim Jimah yang terlibat PKPB pada sidang akhbar di kediaman rasminya di Seremban semalam.
Aminuddin (kanan) menunjukkan peta kawasan Mukim Jimah yang terlibat PKPB pada sidang akhbar di kediaman rasminya di Seremban semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 6,050 buah rumah dan 166 premis perniagaan di tujuh lokaliti di Mukim Jimah, Port Dickson terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tujuh lokaliti tersebut iaitu Tanah Merah Site C, seluruh Bandar Springhill, Taman Bayu Indera, Kawasan Perindustrian Bukit Palong, Taman Lukut Makmur, Kampung Sungai Sendayan dan Taman Vista Jaya.

Menurutnya, PKPB Mukim Jimah dikuatkuasakan berikutan pola peningkatan kes Covid-19 khususnya di sebahagian mukim itu dan lokasi yang bersempadan dengan daerah Sepang, Selangor.

"Walaupun mukim ini belum menjadi zon merah tetapi telah diisytiharkan sebagai kawasan PKPB setelah penilaian risiko dibuat oleh Jabatan Kesihatan apabila sesuatu kawasan mencatatkan antara 10 hingga 20 kes Covid-19.

"Penilaian risiko ini dijalankan dengan melihat beberapa petunjuk seperti kadar jangkitan, logistik dan keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya pada sidang akhbar di kediaman rasminya di sini hari ini.

Aminuddin berkata, pergerakan keluar masuk ke kawasan itu tidak dibenarkan dan sebarang permohonan keluar masuk hanya akan diberikan kepada pekerja yang mempunyai pas pekerja dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, terdapat empat sekatan jalan raya akan dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan iaitu di Kilometer (KM) 6 Jalan Seremban-Lukut, KM 11 Jalan Seremban depan Taman Industri, KM16 Jalan Seremban sempadan Mambau-Lukut dan KM26 Jalan Lukut-Sepang.

"Hanya dua orang sahaja dibenarkan keluar dari rumah dengan sebuah kenderaan yang sama pada satu-satu masa untuk mendapatkan bekalan makanan dan atau aktiviti-aktiviti lain.

Artikel Berkaitan:

"Sektor perkhidmatan awam kerajaan negeri beroperasi seperti biasa. Aktiviti bagi perkhidmatan perlu (essential services) seperti sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan, aktiviti ekonomi dan rantaiannya dibenarkan beroperasi," katanya.

Selain itu, beliau berkata, aktiviti perniagaan di kawasan PKPB tersebut hanya terhad kepada beberapa waktu yang ditetapkan iaitu antara jam 6 pagi hingga 10 malam.

Katanya, semua premis sosial dan institusi pendidikan ditutup, manakala majlis sosial seperti perkahwinan dan sebagainya serta majlis rasmi dan tidak rasmi sama ada oleh pihak kerajaan dan swasta adalah tidak dibenarkan.

"Semua aktiviti keagamaan di masjid, surau dan rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan. Masjid dan surau hanya dibenarkan untuk azan dan solat saja.

"Solat Jumaat juga dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat dan diwajibkan untuk membawa sejadah sendiri setiap kali ke masjid atau surau.

"Rumah ibadat bukan Islam hanya dibenarkan untuk aktiviti sembahyang sahaja dan tidak dibenarkan sebarang sambutan, majlis perayaan dan perkahwinan," katanya.

Tambahnya, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan yang dilakukan di kawasan terbuka adalah dibenarkan.