Air Selangor tambah lori tangki air

Air Selangor telah membuat pembelian penggantian lori tangki air baharu berkapasiti 5,600 liter sebanyak tiga unit dan diterima pada Oktober 2020. Gambar hiasan.
Air Selangor telah membuat pembelian penggantian lori tangki air baharu berkapasiti 5,600 liter sebanyak tiga unit dan diterima pada Oktober 2020. Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Air Selangor merangka penggantian atau penambahan bergantung kepada keperluan semasa lori tangki air untuk tahun 2021 sehingga 2022 (OP1) sebanyak 10 unit lagi yang berkapasiti 10,000 liter setiap satu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, program penggantian kenderaan termasuk lori-lori tangki ini telah termasuk dalam Pelan Perniagaan 30 Tahun syarikat melibatkan anggaran kos sebanyak RM251.3 juta.

"Berdasarkan peruntukan CAPEX 2019, Air Selangor telah membuat pembelian penggantian lori tangki air baharu berkapasiti 5,600 liter sebanyak tiga unit dan diterima pada Oktober 2020.

"Melalui bajet CAPEX 2020, Air Selangor telah membuat pembelian sebanyak 10 buah lori tangki air berkapasiti 10,000 liter dan dianggarkan mula diterima pada pertengahan tahun 2021," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lai Wai Chong (PH-Teratai) mengenai perancangan kerajaan dalam usaha menambah aset kecemasan Air Selangor dalam menghadapi ketiadaan air ketika sesi Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Katanya, Air Selangor juga telah memeteraikan Framework Agreement Services of Rental of Jumbo Tanker for Air Selangor – 40,000 liter dengan empat pembekal lori jumbo.

"Pemeteraian ini untuk penyediaan lori secara kecemasan dengan kapasiti sehingga 40,000 liter setiap satu lori tangki jumbo," katanya.

Jelasnya, ketika ini Air Selangor mempunyai 731 aset kecemasan untuk digunakan.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah ini terdiri daripada lori tangki air sebanyak 82 unit, lori tangki jumbo sebanyak dua unit dan tangki statik sebanyak 647 unit," katanya.