Kerajaan turun kadar cukai pendapatan

Kerajaan bersetuju menurunkan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan bagi individu yang berpendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000.
Kerajaan bersetuju menurunkan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan bagi individu yang berpendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini mengumumkan beberapa inisiatif utama bagi meringankan beban kewangan rakyat semasa tempoh krisis wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini berkata, inisiatif pertama ialah penurunan kadar cukai pendapatan.

Menurutnya, kerajaan bersetuju kadar cukai pendapatan untuk individu pemastautin diturunkan sebanyak satu mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai 50,001 hingga 70,000 ringgit yang dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai.

Beliau berkata, kerajaan prihatin dengan keresahan rakyat terutamanya mereka yang mempunyai pinjaman dan terkesan Covid-19.

"Sejak April hingga September lalu, Malaysia merupakan negara pertama di dunia memberi moratorium pinjaman secara automatik bagi meringankan beban semua peminjam.

"Dengan peralihan ke arah Bantuan Pembayaran Bersasar mulai 1 Oktober yang lalu, institusi perbankan telah menawarkan moratorium lanjutan dan lain-lain kaedah bantuan pembayaran," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini, lebih daripada 650,000 permohonan bantuan pembayaran telah diterima dengan kadar kelulusan tinggi iaitu 98 peratus.

Menurutnya, bantuan dari segi pemanjangan moratorium atau fleksibiliti pembayaran balik telah diberikan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, serta kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang pendapatannya terus terjejas oleh wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa yang sama, bank telah melaporkan bahawa sekitar 85 peratus peminjam telah meneruskan semula pembayaran pinjaman mereka tanpa meminta bantuan sejak moratorium automatik berakhir," katanya.

Tambahnya, sebagai inisiatif kedua, sukacitanya diumumkan bahawa institusi perbankan akan menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40 yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta kepada perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000.

Menurutnya, peminjam dalam kategori ini akan diberi pilihan iaitu opsyen 1, menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan; atau opsyen dua, pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

"Peminjam yang layak hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membuat pilihan opsyen dan menyempurnakan dokumentasi," katanya lagi.

Beliau berkata, untuk peminjam dari golongan M40, proses permohonan bantuan bayaran balik pinjaman akan dipermudahkan dan peminjam hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri atau self-declaration pengurangan pendapatan untuk mendapat bantuan bayaran balik.

Menurutnya, fleksibiliti-fleksibiliti ini akan bermula pada Disember 2020.

"Untuk peminjam dari golongan M40, proses permohonan bantuan bayaran balik pinjaman akan dipermudahkan. Peminjam hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri atau self-declaration pengurangan pendapatan untuk mendapat bantuan bayaran balik," katanya.