Covid-19: Semua SAR, tadika Islam di Kerian ditutup

Mohd Akmal ketika sidang media mengenai penutupan semua institusi yang berdaftar dengan JAIPk sepanjang tempoh PKPB bermula esok.
Mohd Akmal ketika sidang media mengenai penutupan semua institusi yang berdaftar dengan JAIPk sepanjang tempoh PKPB bermula esok.
A
A
A

IPOH - Semua institusi berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di daerah Kerian termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan tadika Islam ditutup mulai esok sehingga 20 November ini.

Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, keputusan penutupan itu dibuat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Parit Buntar yang diumumkan semalam.

Menurutnya, selain tadika Islam dan SAR, turut ditutup ialah maahad tahfiz, Pondok Pengajian Islam, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), serta Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI).

"Sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup termasuk Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Daerah Kerian dan Sekolah Tahfiz Negeri.

"Kita minta supaya masyarakat memahami situasi yang dihadapi selain memberi kerjasama dalam usaha membendung penularan gelombang koronavirus (Covid-19) kali ini," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sebuah restoran di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Dalam pada itu, Mohd Akmal berkata, semua masjid di dalam kawasan PKPB itu akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, bermula esok, solat berjemaah di semua masjid, surau diri Jumaat dan Surau di kawasan tersebut hanya melibatkan 13 jemaah melibatkan ahli jawatankuasa kariah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi solat Jumaat pula, jumlah jemaah tidak boleh melebihi 13 orang dan tidak kurang empat orang manakala semua program pengajian juga ditangguhkan sementara.

Katanya, usaha membendung penularan itu memerlukan kerjasama masyarakat di Bagan Serai dan Parit Buntar.

Semalam, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria mengumumkan sebanyak 91 sekolah di daerah Kerian ditutup mulai 7 hingga 20 November depan berikutan risiko penularan wabak Covid-19 yang tinggi.

Penutupan berkenaan melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah Kementerian Kesihatan, Kolej Vokasional serta sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian.

Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Parit Buntar, Perak berkuat kuasa Sabtu ini sehingga 20 November depan.

Beliau berkata, sehingga 3 November lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan sebanyak 12 kes positif Covid-19 direkodkan.

Menurutnya, penilaian risiko oleh KKM pula menunjukkan trend peningkatan kes Covid-19 terus berlaku di mukim tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN:91 sekolah di daerah Kerian ditutup