X

Kindly register in order to view this article
!

Aktiviti keagamaan di mukim Rasau dihentikan sementara

Mat Azmi Arshad
A
A

DUNGUN - Beberapa aktiviti keagamaan di mukim Rasau, di sini dihentikan sementara bermula esok susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan dilaksanakan selama 14 hari sehingga 20 November ini.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, ibadah solat Jumaat akan berjalan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum ini.

“Berkenaan solat Jumaat, kita menggunapakai keputusan yang diputuskan bersama oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu sebelum ini.

“Ibadah solat Jumaat di masjid dalam mukim Rasau akan berjalan seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan iaitu dihadkan kepada seramai 40 jemaah sahaja bagi sesebuah masjid dengan ada penjarakkan fizikal antara setiap jemaah.

“Bagi solat lima waktu pula hanya imam dan bilal yang bertugas sahaja yang dibenarkan untuk berada di masjid dengan dihadkan enam orang bagi setiap waktu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Difahamkan terdapat empat buah masjid dalam mukim Rasau iaitu Masjid Felda Kerteh 1, Masjid Felda Kerteh 2, Masjid Felda Kerteh 3 dan Masjid Felda Kerteh 4.

Dalam pada itu, Mat Azmi berkata, aktiviti lain seperti kuliah agama dan melibatkan perhimpunan jemaah dalam jumlah yang ramai di masjid serta surau dihentikan buat sementara waktu.

“Aktiviti-aktiviti keagamaan lain di mukim Rasau kita terpaksa hentikan dahulu buat sementara waktu ini bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan maklumat disalurkan menerusi laman sosial facebook Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu terdapat 47 kes aktif di seluruh Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 213 kes sehingga semalam.

Kesemua 47 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Jumlah keseluruhan kes aktif di mukim Rasau sebanyak 26 kes dan pihak kesihatan giat melakukan pengesanan serta saringan secara aktif dalam kalangan kontak rapat serta komuniti terutama di kawasan Ketengah Jaya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!