[VIDEO] 'Rakyat hanya mahu lihat makanan tersedia atas meja'

Ahmad Fadhli (kanan) menjadi panelis pada program Wacana Sinar Harian Siri ke-206 bertajuk ‘Bajet 2021: Demi Rakyat Atau Survival Negara?' yang disiarkan secara langsung dari Studio F Kumpulan Karangkraf di Shah Alam malam tadi.
Ahmad Fadhli (kanan) menjadi panelis pada program Wacana Sinar Harian Siri ke-206 bertajuk ‘Bajet 2021: Demi Rakyat Atau Survival Negara?' yang disiarkan secara langsung dari Studio F Kumpulan Karangkraf di Shah Alam malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga krisis iaitu politik, ekonomi dan kesihatan yang melanda negara tahun ini menjadikan rakyat begitu tersepit, kata Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Justeru, kata beliau, ahli politik perlu mengetepikan perbezaan politik dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

“Rakyat sekarang sudah muak dengan permainan politik. Melalui tinjauan dibuat, mereka hanya mahu melihat ada makanan tersedia di atas meja. Ini mesej kepada ahli politik dan dalam hal ini, mereka perlu mengetepikan perbezaan politik terlebih dahulu.

“Kita kini berdepan dengan situasi ekonomi yang sangat mengancam. Tahun 2020 merupakan tahun di mana kita terpaksa berdepan dengan pertumbuhan GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) sangat-sangat tidak memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Harian Siri ke-206 bertajuk ‘Bajet 2021: Demi Rakyat Atau Survival Negara?' yang disiarkan secara langsung di Studio F Kumpulan Karangkraf di sini malam tadi.

Turut menjadi panelis ialah Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadli Shaari; Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Aira Azhari serta tetamu istimewa iaitu bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kerajaan juga berdepan dengan cabaran untuk melandaikan lekuk pandemik koronavirus (Covid-19) sejak Mac lalu.

“Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, kerajaan hampir berjaya mensifarkan kes, tetapi pada masa sama membunuh rakyat berikutan aktiviti-aktiviti ekonomi hampir langsung tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, saya yakin kerajaan tidak akan mengambil tindakan sama sekali lagi kesan kepada PKP itu sendiri. Kerajaan juga perlu memastikan kelestarian ekonomi dan perniagaan dapat diteruskan.

“Dalam masa sama juga, kerajaan juga tidak boleh mengabaikan penyampaian sektor awam. Perkara-perkara ini sangat penting dalam kelestarian rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai hanya 80 ahli Parlimen dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat sepanjang tempoh persidangan mesyuarat ketiga termasuk ketika pembentangan Belanjawan 2021 hari ini, Ahmad Fadhli berkata, ia melibatkan soal kesihatan dan berisiko untuk semua pihak.

“Tidak timbul isu berlakunya undi tidak percaya kerana arahan ini melibatkan soal kesihatan. Sebenarnya setiap hari risikonya sentiasa ada,” katanya.