RM1 bilion diperuntukkan bendung wabak Covid-19 tahun depan

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan perkhidmatan kesihatan awam berkaitan koronavirus (Covid-19) pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi tahun hadapan sebanyak RM1 bilion lagi akan diperuntukkan untuk membendung gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Beliau berkata, peruntukan itu merangkumi RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, yang kedua sebanyak RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan cecair pembasmi kuman kepada petugas barisan hadapan KKM dan ketiga, RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19.

"Keempat, sebanyak RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti.

"Sementara yang kelima, menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi SOP normal baharu," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan menghargai pengorbanan dan keringat petugas barisan hadapan dalam mengendalikan wabak Covid-19 ini.

"Sehubungan itu, sejak Mac lalu kerajaan memberikan Elaun Khas Covid-19 sebanyak RM600 sebulan kepada barisan hadapan KKM dan ia akan diteruskan sehingga ancaman pandemik ini berjaya diatasi.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai tambahan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian one-off sebanyak RM500 ringgit bagi menghargai jasa anggota barisan hadapan KKM yang dijangka memanfaatkan 100,000 petugas kesihatan," katanya.