Belanjawan 2021: RM90 juta untuk program imunisasi pneumokokal

Program imunisasi pneumokokal itu dijangka dimanfaatkan oleh 500,000 kanak-kanak. - Gambar hiasan
Program imunisasi pneumokokal itu dijangka dimanfaatkan oleh 500,000 kanak-kanak. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melaksanakan program imunisasi pneumokokal untuk kanak-kanak dengan peruntukan RM90 juta yang dijangka memanfaatkan 500,000 kanak-kanak.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selain itu, RM6 juta turut diperuntukkan untuk perolehan ubat biologik bagi pelbagai jenis penyakit rheumatologi seperti rheumatoid arthritis.

"Kerajaan juga memperuntukkan RM25 juta bagi program rawatan Peritoneal Dialysis di rumah bertujuan meningkatkan kualiti rawatan pesakit buah pinggang serta mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di hospital," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu katanya, setakat 31 Oktober 2020, mySalam telah membayar tuntutan berkaitan hospitalisasi dan penyakit kritikal sebanyak RM64 juta kepada 56,000 pesakit.

"Di samping itu, 19 ribu individu menerima pampasan berjumlah RM11 juta ringgit disebabkan koronavirus (Covid-19)," katanya.

Menurutnya, bagi menambah baik program ini, kerajaan akan memperluas perlindungan mySalam ke atas tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung atau prostesis.

Beliau berkata, selain daripada perlindungan kesihatan, kerajaan juga bercadang memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 melalui Program Baucar Perlindungan Tenang.

"Melaluinya setiap penerima bantuan B40 akan diberi baucar RM50 sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul berkata, pada masa sama, kerajaan juga melanjutkan tempoh pengecualian duti setem ke atas semua produk Perlindungan Tenang dengan sumbangan tahunan tidak melebihi RM100 untuk tempoh lima tahun lagi sehingga tahun taksiran 2025.