BSH diganti kepada BPR dengan peruntukan RM6.5 bilion

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bantuan Sara Hidup (BSH) yang digantikan kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada tahun 2021 akan memanfaatkan 8.1 juta orang membabitkan peruntukan RM6.5 bilion.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu adalah melebihi RM5 bilion dengan 4.3 juta penerima di bawah BSH.

"Kadar bantuan dan kategori pendapatan yang lebih baik seperti berikut: Pertama, isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200

"Manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih menerima bantuan sebanyak RM1,800," katanya pada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM 2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak RM800 akan disalurkan.

"Isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih pula akan menerima bantuan sebanyak RM1,200," katanya.

No Image Caption

Beliau berkata, kerajaan turut akan membantu kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,000 dan RM5,000.

Artikel Berkaitan:

"Kategori ini akan menerima RM500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan RM750 kepada isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih," katanya.

Tengku Zafrul berkata, individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula akan menerima bantuan RM350.

"Tidak sekadar itu, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun berbanding syarat sebelum ini iaitu 40 tahun," katanya.