PKPB: Perak salur bantuan ke Mukim Parit Buntar

 Ahmad Saidi Mohamad Daud
Ahmad Saidi Mohamad Daud
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan menyalurkan bantuan kepada penduduk serta petugas terlibat di kawasan Mukim Parit Buntar yang dikenakan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, semua bantuan dan keperluan tersebut akan diuruskan Pejabat Daerah dan Tanah Kerian seperti diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Koronavirus (Covid-19) baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan kebajikan rakyat dan keselamatan petugas sentiasa dijaga sepanjang tempoh PKPB itu.

"Saya nasihatkan kepada semua penduduk yang terlibat dengan PKPB di Mukim Parit Buntar ini agar tidak panik, sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang menjadi sebahagian daripada kebiasaan baharu kita.

"Untuk memutuskan rantaian Covid-19, kita memerlukan kerjasama semua pihak, bukan sahaja pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri tapi masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sempena Hari Keputeraan Sultan Perak Tahun 2020 di Masjid Sultan Idris Shah ll di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Saidi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan Covid-19.

Menurutnya, tindakan itu akan mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat, sekali gus mengganggu usaha membendung penularan pandemik tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri akan mengadakan taklimat kepada petugas terlibat berhubung penggunaan Peralatan Pelindung Diri (PPE).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, taklimat tersebut melibatkan cara menggunakan PPE bagi menjimatkan penggunaan peralatan tersebut.

Katanya, petugas terlibat juga akan diberikan penerangan mengenai cara melupuskan PPE dengan cara selamat supaya tidak menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Mukim Parit Buntar di sini berkuat kuasa Sabtu ini sehingga 20 November depan.

Beliau berkata, sehingga 3 November lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sebanyak 12 kes positif Covid-19 direkodkan.

Menurutnya, penilaian risiko oleh KKM pula menunjukkan trend peningkatan kes Covid-19 terus berlaku di mukim tersebut.