Pegawai polis, penjawat awam ditahan minta suapan RM800,000

Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Dua pegawai polis dan seorang penjawat awam ditahan semalam kerana dipercayai menipu dengan menawarkan untuk menyelesaikan kes mahkamah dihadapi suspek kes perjudian online.

Pegawai yang ditahan itu masing-masing berpangkat Asisten Superintendan berusia 38 tahun dan Inspektor berusia 34 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya manakala seorang lagi adalah penjawat awam yang bertugas di Mahkamah Petaling Jaya berusia 49 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, penahanan tiga individu itu berhubung siasatan suspek lelaki yang juga pengadu bersama 35 pekerjanya pada 2 Oktober lalu di Petaling Jaya dalam serbuan judi online.

Menurutnya, pengadu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya pada 4 Oktober untuk bertemu pegawai penyiasat kanan polis terbabit.

“Pada masa sama, seorang lelaki datang mengaku dirinya sebagai orang tengah kepada pengadu serta boleh menyelesaikan kesemua kes yang sedang disiasat terhadapnya dan pekerja serta membatalkan reman, memulangkan barang kes yang dirampas dengan jumlah wang yang diminta adalah RM800,000.

“Kemudian, pegawai itu menghubungi pakar judi supaya laporan pakar judi yang dikeluarkan negatif bagi membolehkan kes ditutup sebelum turut menghubungi 'majistret' supaya datang ke biliknya di Balai Polis Sea Park,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini.

Beliau berkata, tidak lama kemudian, datang seorang lelaki dikatakan majistret yang mengarahkan untuk membatalkan reman yang disambung terhadap pengadu dan pekerjanya.

Tambahnya, pengadu kemudian menghubungi isterinya untuk menyediakan wang pendahuluan berjumlah RM300,000 dan mengarahkan isterinya bersama rakan pengadu seorang lelaki untuk menyerahkan wang itu kepada orang tengah terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Isteri pengadu bersama seorang lelaki kemudian menyerahkan wang tunai berjumlah Singapura Dollar 99,000 (kira-kira RM300,000) kepada orang tengah ketika berada di tempat letak kereta di sebuah restoran segera di daerah ini,” katanya.

Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya telah menangkap orang tengah terbabit dan isterinya, 34, bersama seorang lelaki warga asing, 29, bagi membantu siasatan.

“Tiga telefon bimbit, dua utas jam tangan, tiga pasang kasut, dua rantai kunci dan sekeping pasport turut dirampas,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.