Ahli perniagaan disyaki rogol anak ditahan

Mangsa dipercayai dirogol setiap minggu sejak Februari kecuali ketika dia sedang haid. Gambar hiasan.
Mangsa dipercayai dirogol setiap minggu sejak Februari kecuali ketika dia sedang haid. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang ahli perniagaan berusia 45 tahun Isnin lepas kerana disyaki merogol anak kandungnya secara berterusan di rumah mereka di Bukit Antarabangsa di sini sejak Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian terkutuk itu terbongkar selepas polis menahan mangsa berusia 15 tahun di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Ahad lepas.

“Remaja itu pada mulanya ditahan di terminal tersebut kerana cuba meninggalkan Kuala Lumpur tanpa permit perjalanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Setelah menyoal siasat mangsa, kami mengetahui mengenai kejadian rogol itu dan mangsa sebenarnya cuba melarikan diri ke rumah ibunya di Kedah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini.

Menjelaskan kejadian berkenaan, Mohamad Farouk berkata, mangsa dipercayai dirogol setiap minggu sejak Februari kecuali ketika dia sedang haid.

“Disebabkan perbuatan keji yang dilakukan bapanya, mangsa telah cuba membunuh diri dengan minum cecair pencuci pada Jun lepas.

"Mangsa menderita kemurungan dan trauma dengan kejadian itu,” katanya sambil menambah, gadis itu adalah anak suspek daripada perkahwinan sebelumnya.

Beliau berkata, gadis itu berada dalam jagaan suspek sejak September 2019 bersama isteri kedua dan empat anaknya yang lain.

Selain itu Mohamad Farouk berkata, suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes rogol adik iparnya pada 2004.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata suspek ditahan Isnin lepas di rumahnya dan telah direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat, jika sabit kesalahan. - Bernama