Maddison kecewa tiada panggilan wakili England

Maddison cemerlang ketika membantu pasukan menewaskan Braga, semalam. - Foto the sun.co.uk
Maddison cemerlang ketika membantu pasukan menewaskan Braga, semalam. - Foto the sun.co.uk
A
A
A

BIARPUN berjaya membantu Leicester City menewaskan kelab Portugis, Braga 4-0 pada aksi Liga Eropah di Stadium King Power semalam, namun bintang The Foxes James Maddison kecewa apabila tidak mendapat panggilan skuad kebangsaan England.

Maddison berkata, dia agak kecewa kerana beraksi mewakili skuad The Three Lions itu sememangnya menjadi impiannya sejak zaman kanak-kanak lagi.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu tetap berazam untuk terus berusaha keras bagi menambat hati Gareth Southgate bagi menyenaraikannya pada masa hadapan.

“Sejujurnya, saya memang mahu beraksi bersama skuad kebangsaan England. Ia adalah impian saya sejak kecil.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengawal pasukan dan saya hanya boleh memberikan fokus kepada prestasi saya untuk Leicester.

“Kami kini berada pada kedudukan terbaik iaitu pada kedudukan kedua dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mendominasi Kumpulan G dalam saingan Liga Europa,” katanya.

Pada aksi berdepan Braga, Maddison terlibat bagi membantu gol pembukaan yang dijaringkan Kelechi Iheanacho pada minit ke-2 dan 47 manakala gol ketiga dijaringkan Dennis Praet pada minit ke-67 sebelum Maddison menjaringkan gol keempat pada minint ke-78 bagi mengesahkan kemenangan bergaya The Foxes.

Kemenangan berkenaan menyaksikan skuad The Foxes itu gah memimpin Kumpulan G Liga Europa dengan Sembilan mata hasil tiga kemenangan berturut-turut setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Maddison menyifatkan aksi kesebelasan The Foxes pada perlawanan berkenaan agak baik sehingga berjaya menghasilkan kemenangan berkenaan.

“Saya menyifatkan kesemua pemain beraksi dengan baik hari ini (kelmarin) dan berharap momentum ini berterusan.

“Kita ada skuad yang baik dengan pemain yang berkualiti kerana sebenarnya beberapa pemain utama tidak beraksi kali ini,” katanya.