15 jam hanyut, berpaut pada bot

Semua mangsa (belakang) ditemui selamat selepas hanyut kira-kira 15 jam di perairan Kampung Mengkubau, Pitas.
Semua mangsa (belakang) ditemui selamat selepas hanyut kira-kira 15 jam di perairan Kampung Mengkubau, Pitas.
A
A
A

KUDAT - Tiga lelaki terpaksa berpaut pada bot yang karam kira-kira selama15 jam bagi menyelamatkan diri daripada lemas sebelum diselamatkan di perairan Kampung Mengkubau, Pitas pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Helmi Sadron, 28, Ansar Kirinoh, 34, dan Mohamad Sahibi, 58, dari Kampung Lagaton, Pitas ditemui kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Menurut pengadu, Abdul Nasir Laud, 62, kesemua mangsa terbabit ditemuinya di perairan terbabit ketika turun ke laut untuk mencari mereka.

"Ketiga-tiga mangsa ini adalah bersaudara di mana salah seorang daripadanya adalah anak menantu saya dan mereka dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang selepas membeli barang di Pekan Karakit, Pulang Banggi, semalam.

"Ketika dalam perjalanan pulang, bot mereka naiki yang sarat dengan pelbagai barang keperluan harian seperti beras dan sebagainya dipukul ombak sebelum karam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Nasir berkata, usaha mencari dan menyelamat ketiga-tiga mangsa dilakukan termasuk memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk membantu mencari mereka.

"Kami tidak tidur semalaman disebabkan bimbang dengan keadaan ketiga-tiga mangsa dan pagi tadi ketika pencarian dimulakan, kesemua mereka ditemui dalam keadaan berpaut pada bot yang hanyut di perairan Kampung Mengkubau.

"Mujur kesemuanya memakai jaket keselamatan dan mereka terpaksa membuang enjin bot berkenaan supaya dapat terus berpaut pada bot yang karam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) semua mangsa dilakukan sejak semalam sebelum disambung pagi tadi.

"Bagaimanapun, semua mangsa sudah ditemui dalam keadaan selamat dan kesemuanya didapati memakai jaket keselamatan sebelum keluar ke laut.

"Pemakaian jaket keselamatan amat penting untuk keselamatan dan mampu menyelamatkan nyawa jika berlaku kejadian karam," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rosli turut menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri sebelum memulakan sebarang aktiviti di laut.