Kerajaan Pahang bantu mangsa kebakaran kedai di Kampung Baru Benta

Wan Rosdy singgah di lokasi kebakaran itu ketika dalam perjalanan pulang ke Lipis, malam tadi. FOTO: FB WAN ROSDY WAN ISMAIL
Wan Rosdy singgah di lokasi kebakaran itu ketika dalam perjalanan pulang ke Lipis, malam tadi. FOTO: FB WAN ROSDY WAN ISMAIL
A
A
A

LIPIS - Kerajaan negeri Pahang akan membantu mangsa kebakaran melibatkan lima buah kedai dua tingkat di Kampung Baru Benta, di sini malam tadi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain bantuan dalam bentuk kewangan, bantuan sewajarnya yang lain akan diperhalusi selepas laporan lengkap diterima.

Menurutnya, ia amalan biasa di mana kerajaan negeri akan membantu rakyat yang ditimpa musibah bagi meringankan beban ditanggung mereka.

"Saya sempat singgah di lokasi kebakaran itu ketika dalam perjalanan balik ke Lipis malam tadi dan dimaklumkan kebakaran melibatkan kedai perkakasan rumah serta kedai runcit.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba, bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Pembinaan Jalan Kampung dari Pos Betau ke Kampung Semoi Lama di Pos Betau, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, lima kedai dua tingkat berkenaan musnah hampir 90 peratus.

Operasi memadam kebakaran dijalankan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis dan Raub dibantu Pasukan Bomba Sukarela Kuala Gali.

Artikel Berkaitan: