Lelaki warga Bangladesh tak mengaku pukul isteri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SELAYANG - Seorang lelaki warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, bulan lalu.

Rakibur Rahman, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mengikut pertuduhan, Rakibur didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Rahaniling Rahaman, 46, yang juga warga tempatan.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah Pangsapuri Merak, Jalan Bukit Idaman, Batu Caves di sini pada jam 7 malam, 5 Oktober lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan dia juga boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria tidak menawarkan ikat jamin kerana tertuduh merupakan seorang warga asing.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan kes.

Artikel Berkaitan: