X

Kindly register in order to view this article
!

427 hektar tanah kerajaan diceroboh di Selangor

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
A
A

SHAH ALAM - Jumlah tanah kerajaan yang telah diceroboh di negeri Selangor adalah seluas 427 hektar yang melibatkan sembilan daerah di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kuala Langat merekodkan pencerobohan tanah paling tinggi iaitu sebanyak 142.85 hektar diikuti Klang (86.1 hektar); Petaling dan Kuala Selangor masing-masing 40.46 hektar.

"Hulu Langat (34 hektar); Gombak (32.3 hektar); Sepang (29.1 hektar); Hulu Selangor (20.2 hektar) dan Sabak Bernam (1.4 hektar)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mohktar (PH-Meru) mengenai jumlah keluasan tanah kerajaan yang telah diceroboh di Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Katanya, kesemua tanah berkenaan telah dikeluarkan Notis 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 oleh Pentadbir Tanah Daerah yang berkaitan.

"Mana-mana orang tanpa kebenaran yang sah iaitu menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab, atau tanah perlombongan, membersih, membajak, menggali, mengepungi atau menanami mana-mana tanah sedemikian atau bahagian darinya, memotong atau memindah apa-apa kayuan atau hasil atas atau dari tanah sedemikian adalah melakukan suatu kesalahan.

"Kesalahan ini jika disabitkan, dikenakan denda yang tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara untuk suatu tempoh yang tidak melebihi lima tahun.

"Amaun denda dan tempoh penjara ini juga diperuntukkan kepada mana-mana orang yang bersubahat dalam melakukan ketiga-tiga kesalahan," katanya.

Jelasnya, tanah kerajaan adalah termasuk semua tanah yang dipegang oleh atau bagi pihak kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan atau Pihak Berkuasa Berkanun yang terletak kepadanya oleh undang-undang Persekutuan atau negeri.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!