Tuntutan GST: PAC terima maklum balas Kementerian Kewangan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen menerima maklum balas daripada Kementerian Kewangan hasil daripada dua syor laporannya berhubung Tuntutan Tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dibentangkan di Parlimen pada Julai 2019.

Berikutan syor PAC, kementerian itu dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengambil tindakan dengan memasukkan semua kutipan GST dalam Akaun Hasil Disatukan ke dalam Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik (KWBPB) GST berbanding amalan sebelumnya dengan memasukkan wang kutipan GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan.

Menurut kenyataan PAC hari ini, kementerian juga meminda surat ikatan amanah KWPB GST dengan membuat satu surat ikatan amanah tambahan bagi membolehkan kumpulan wang ini terus berfungsi walaupun GST dimansuhkan pada 1 September 2018.

Semalam, PAC membentangkan laporannya di Dewan Rakyat berhubung tindakan yang diambil oleh kementerian terhadap dua syornya hasil daripada prosiding terhadap tuntutan tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion.

Sebelum ini, PAC mengemukakan dua syor kepada kerajaan dalam laporannya selepas menjalankan 10 prosiding bermula 12 September, 2018 sehingga 14 Mei 2019.

PAC menjalankan siasatan terhadap isu itu apabila mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa bahawa sejumlah RM19.4 bilion daripada wang GST ‘dirompak’ oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Laporan itu juga menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan akur terhadap syor PAC untuk memastikan pematuhan penuh undang-udang negara dalam pelaksanaan tatacara kewangan dan untuk tujuan itu, kementerian berkenaan menambah keanggotaan ahli jawatankuasa KWBPB GST," katanya.

Menurut PAC, Pengarah, Pejabat Belanjawan Negara dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Fiskal dan Ekonomi kementerian itu turut dimasukkan sebagai ahli jawatankuasa baharu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: