APM NS lancar Ops Bantu 18

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan hari ini melancarkan Ops Bantu 18 sempena musim perayaan khusus bagi membantu pengguna jalan raya sekiranya mereka berhadapan dengan situasi kecemasan ketika berada di jalan raya.

Majlis ‘flag off’ Ops Bantu 18 peringkat Negeri Sembilan disempurnakan oleh Pengarah APM Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim.

“Ops Bantu 18 ini bertujuan membantu pengguna jalan raya sama ada di jalan persekutuan atau jalan negeri yang mengalami kecemasan dan kesulitan sepanjang perjalanan balik ke kampung dan pulang semula ke bandar sempena musim perayaan ini.

“Di Negeri Sembilan kesemua tujuh Pejabat Daerah APM akan terlibat sepanjang operasi ini dengan kekuatan keanggotaan seramai 100 orang, dibahagikan kepada dua jadual penugasan harian antara pukul 8 pagi hingga 4 petang dan 4 petang hingga 12 tengah malam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya sepanjang tempoh ini, pelbagai jenis kenderaan dan logistik APM akan digerakkan antaranya pacuan empat roda, ambulan dan lori Hicom 3 tan.

Tambahnya, berdasarkan statistik Ops Bantu tahun lepas APM Negeri Sembilan membantu 55 orang mangsa dalam 22 kes kecemasan yang ditanganinya.

Ops Bantu 18 secara keseluruhannya melibatkan 12 Pejabat Negeri APM dan 51 Pejabat Daerah APM dengan kekuatan seramai 2,040 petugas seluruh Malaysia.

Pelaksanaan Op Bantu 18 ini terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama pada 3 hingga 4 Februari dan fasa kedua pada 9 hingga 10 Februari. -Bernama

Artikel Berkaitan: