Lantik Pochettino tidak selesai masalah United

Pochettino
Pochettino
A
A
A

MASALAH yang dihadapi Manchester United ketika ini tidak akan selesai walaupun pasukan itu memecat Ole Gunnar Solskjaer dan menggantikannya dengan bekas pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino.

Bekas penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov berkata, masalah sebenar yang berlaku dalam pasukan disumbangkan oleh pemain yang gagal menampilkan prestasi yang diinginkan.

"Saya tidak akan menyalahkan United jika benar mereka mahu pecat Ole dan gantikan dengan Pochettino. Ia lumrah dalam bola sepak untuk menyalahkan pengurus jika pasukan gagal.

"Namun, bagi saya, jika mereka menukar pengurus ia tidak mengubah apa-apa pun terutama prestasi pemain. Memang benar apabila menukar pengurus anda akan nampak sedikit peningkatan, tetapi secara keseluruhan, sikap pemain masih sama. Mereka tiada semangat, tidak agresif untuk menang.

"Pemain itu sendiri yang perlu mengubah sikap dalam masa sama dengan pertukaran pengurus itu. Saya melihat masalah lebih kepada pemain daripada seseorang pengurus.

"Saya percaya dan berani untuk mengatakan United memerlukan pemain pertahanan sebelum mereka menukar seorang pengurus," katanya.

Terdahulu, Ole dilaporkan bakal dipecat oleh United dalam masa terdekat selepas The Red Devils tewas 1-2 kepada Istanbul Basaksehir dalam aksi Liga Juara-Juara kelmarin.

Malah, Berbatov percaya, jika United kalah dalam perlawanan menentang Everton malam esok, ia akan menjadi aksi terakhir pengurus kelahiran Norway itu bersama kelab gergasi England tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Menentang Everton bakal menjadi perlawanan penting buat Ole.Jika mereka kalah, sudah tentu ia akan dijadikan alasan untuk mencari pengurus baharu," katanya.