Warga Myanmar jatuh ke laut ketika tarik pukat

Operasi Carilamat dilakukan bagi mengesan seorang PATI warga Myanmar yang disyaki terjatuh ke dalam laut semasa menarik pukat di kedudukan 9.7 batu nautika barat laut Pantai Redang, Sekinchan semalam.
Operasi Carilamat dilakukan bagi mengesan seorang PATI warga Myanmar yang disyaki terjatuh ke dalam laut semasa menarik pukat di kedudukan 9.7 batu nautika barat laut Pantai Redang, Sekinchan semalam.
A
A
A

SEKINCHAN - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar disyaki terjatuh ke dalam laut ketika menarik pukat di kedudukan 9.7 batu nautika barat laut Pantai Redang, Sekinchan di sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mangsa dikenali Tin Warm, 50, dipercayai terjatuh kira-kira jam 3.30 petang.

"Bot itu dikendalikan seorang tekong serta dua kru warga Myanmar.

“Mangsa merupakan kru bot nelayan tempatan kelas B, tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan ketika kejadian mangsa memakai baju serta seluar berwarna hitam tanpa memakai jaket keselamatan,” katanya.

Beliau memberitahu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada jam 10.00 malam, sebaik menerima maklumat awal kejadian daripada Maritim Rescue Coordinator Centre (MRCC) Putrajaya.

"Operasi Carilamat merangkumi keluasan kira-kira 135 batu nautika persegi dan APMM Negeri Selangor terus menggerakkan aset bot Pengawal 26 dengan dibantu aset daripada agensi sahabat iaitu KD Gagah Samudera milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta komuniti nelayan setempat.

"Hebahan turut dilakukan kepada semua komuniti maritim yang menjalankan aktiviti di perairan Sekinchan dan sekitarnya," katanya.

Mohammad Rosli berkata, Pengkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Jeti Nelayan Sekinchan.

Artikel Berkaitan: