874 kes sampah haram direkodkan di Selangor

Majlis Perbandaran Klang (MPK) mencatatkan jumlah kes tertinggi berkaitan kes pembuangan sampah haram sehingga September tahun ini.- Gambar hiasan (Gambar kecil: Ng Sze Han)
Majlis Perbandaran Klang (MPK) mencatatkan jumlah kes tertinggi berkaitan kes pembuangan sampah haram sehingga September tahun ini.- Gambar hiasan (Gambar kecil: Ng Sze Han)
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 874 kes berkaitan pembuangan sampah haram dan pelepasan air sampah di merata-rata tempat sehingga September 2020 berbanding 1,983 kes pada tahun lepas.

Exco Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, Majlis Perbandaran Klang (MPK) mencatatkan jumlah kes tertinggi berkaitan yang telah dijatuhkan hukuman iaitu sebanyak 346 kes.

"Ini diikuti oleh Majlis Perbandaran Sepang sebanyak 186 kes, Majlis Bandaraya Subang Jaya (87 kes), Majlis Perbandaran Kajang (71 kes), Majlis Bandaraya Shah Alam (61 kes), Majlis Perbandaran Selayang (44 kes).

"Selain itu Majlis Daerah Kuala Selangor (41 kes), Majlis Perbandaran Kuala Langat (19 kes) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (tiga kes)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wong Siew Ki (PH-Balakong) mengenai jumlah kes berkaitan pembuangan sampah haram di negeri ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Katanya, selain daripada tindakan penguatkuasaan, notis dan amaran turut dikenakan.

"Antara tindakan yang dikenakan adalah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 82 Borang B, Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) kepada pemilik tanah supaya tidak berlaku kacau ganggu.

"Selain itu, tindakan mengeluarkan Notis Kerja Tanah di bawah Seksyen 70A, Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta 133) untuk memastikan tiada lagi aktiviti pelupusan sampah haram dilakukan dan mengeluarkan notis di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) kepada pemilik tanah supaya memulihkan tanah kepada keadaan asal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kerajaan negeri Selangor melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) telah memperkenalkan Arahan Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Selangor sebagai panduan kepada pihak Pejabat Tanah Daerah atau Pentadbir Tanah dan pegawai PBT untuk mengambil tindakan ke atas pemilik tanah tapak pelupusan sampah haram.

"Tindakan diambil dengan mengeluarkan Notis 7A kepada pemilik agar memulihkan pelanggaran syarat tanah tersebut.

"Seterusnya, Notis 7B akan dikemukakan bagi mendapatkan pengesahan terhadap pemulihan yang telah dibuat," katanya.

Tambahnya, sekiranya selepas tempoh yang diberikan pemulihan tanah tidak dilaksanakan serta Pemilik Tanah Berdaftar masih ingkar dan berdegil, tindakan perampasan tanah oleh Pentadbir Tanah akan dilakukan di bawah Notis 8A, Seksyen 130 Kanun Tanah Negara 1965.