Arteta kagum aksi dipamer Willock

Willcock terduduk (dua dari kanan) menyaksikan pertahanan Molde Kristoffer tertampan bola ke gawang sendiri pada perlawanan berkenaan. - Foto Reuters
Willcock terduduk (dua dari kanan) menyaksikan pertahanan Molde Kristoffer tertampan bola ke gawang sendiri pada perlawanan berkenaan. - Foto Reuters
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PENGENDALI Arsenal, Mike Arteta kagum dengan aksi yang dipamerkan pemain muda, Joe Willock ketika membantu skuad The Gunners itu membenam Molde 4-1 pada aksi Liga Europa kelmarin.

Arteta berkata, dia juga kagum dengan semangat melawan yang dipamerkan kesebelasan skuad bimbingannya itu untuk bangkit menewaskan pelawat dari Norway itu biarpun ketinggalan 0-1 pada awal babak pertama.

Justeru menurut Arteta, senario berkenaan bakal menyaksikan Willock akan diturunkan lagi bagi membantu skuad kendaliannya itu melakar lebih banyak kejayaan khususnya bagi saingan domestik.

“Daripada pemerhatian saya, dia (Willock) seharusnya boleh menjaringkan lebih banyak gol; dia mencipta peluang dan juga beraksi baik di sepanjang perlawanan.

“Saya berharap dia akan terus konsisten dengan aksi seperti itu dan dia akan berpeluang pula untuk menyerlah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kelak.

“Lagi pun, saya memang gemar dengan penampilan pemain muda pada setiap perlawanan kerana mereka ini akan beraksi dengan pelbagai personaliti dalam usaha untuk melakukan perubahan (dalam sesuatu perlawanan),” katanya.

Untuk rekod, pemain berusia 21 tahun itu telah diturunkan pada ketiga-tiga aksi Liga Europa, namun masih belum diturunkan dalam saingan EPL.

Pada aksi di Emirates kelmarin, Arsenal dikejutkan dengan gol pembukaan Molde hasil jaringan Martin Ellingsen pada minit ke-22.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun dua jaringan sendiri oleh pemain Molde dimulai dengan Kristoffer Haugen pada masa kecederaan babak pertama serta sebelum Sheriff Sinyan pada minit ke-62 dilihat menjadi titik tolak kepada kebangkitan Arsenal apabila Nicolas Pepe menjaringkan gol ketiga pada minit ke-66 dan Willcock melengkapkan kemenangan dengan gol keempat The Gunners pada minit ke-88.

Kemenangan berkenaan menyaksikan Arsenal kini menerajui Kumpulan B Liga Europa dengan Sembilan mata hasil tiga kemenangan berturut-turut setakat ini.

Sementara itu Willock berkata, dia masih menunggu peluang untuk beraksi dalam saingan EPL musim ini.

Katanya, biarpun telah melakukan sebanyak 29 penampilan musim lalu, dia masih mahu terus memberikan aksi terbaik bersama skuad The Gunners itu sekiranya diberikan peluang untuk beraksi musim ini.

“Ini adalah sebahagian daripada perjalanan saya sebagai pemain bola sepak. Saya masih muda dan saya mengambil sikap untuk melihat setiap perlawanan satu demi satu.

“Yang penting saya perlu terus belajar, bekerja keras dan apabila saya berpeluang beraksi dalam EPL, saya akan melakukan perkara yang sama,” katanya.