Dua bayi derita masalah jantung perlu bantuan

Nailah dipangku ibunya Siti Fatima ketika berkunjung ke pejabat One Hope Charity and Welfere. Gambar kanan: Muhammad Hamzah
Nailah dipangku ibunya Siti Fatima ketika berkunjung ke pejabat One Hope Charity and Welfere. Gambar kanan: Muhammad Hamzah
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Dua bayi berusia 24 hari dan setahun tiga bulan yang menghidap masalah jantung memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan kerana keadaan mereka semakin lemah dan perlu dibedah segera.

Menurut pasangan Mohamad Norhisyam Alias dan isterinya Siti Afirah Al-Abidah Saliman, anak sulung mereka, Muhammad Hamzah yang lahir pada 13 Oktober lalu menghadapi masalah kesihatan selepas doktor mengesahkan kandungan oksigen dalam darahnya berada pada tahap rendah.

"Muhammad Hamzah masih berada di hospital dan bergantung dengan alat bantuan pernafasan. Pemeriksaan lanjut telah dijalankan dan mendapati saluran darah jantungnya tumbuh ganjil dengan arah songsang. Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM80,000 untuk kos pembedahan," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Mohamad Norhisyam berkata, doktor pakar memaklumkan, Muhammad Hamzah perlu dibedah dalam tempoh dua minggu bagaimanapun terdapat masalah pembiayaan kos pembedahan memandangkan dia hanya bekerja sebagai pegawai pengurusan di sebuah kilang dengan pendapatan RM1,600 sebulan manakala Siti Afirah Al-Abidah pula seorang guru tahfiz dengan gaji RM1,050 sebulan.

Buntu dengan masalah kewangan yang dihadapi pasangan masing-masing berusia 27 tahun itu mendapatkan bantuan daripada badan amal One Hope Charity and Welfare bagi mengumpul dana untuk bayi berkenaan.

Nasib sama menimpa pasangan Abdul Rahman Zakaria, 39, dan isterinya Siti Fatima, 36 apabila anak bongsu mereka Nailah Farafishah disahkan menghidap jantung berlubang (ASD/CSD).

Akibat penyakit itu, injap jantung bayi berkenaan bocor pada bulan Ogos tahun lalu namun hospital memutuskan dia hanya sesuai untuk menjalani pembedahan setelah mencapai berat badan 4 kilogram (kg).

"Pada Februari lalu berat badan Nailah sudah 4 kilogram, tetapi penggunaan ubat yang merawat jantungnya menimbulkan kesan buruk kepada buah pinggangnya.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan itu pembedahan mesti segera dijalankan dan kini Nailah masih berada di Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan," ujarnya.

Abdul Rahman yang berkhidmat di Klinik Kesihatan runsing dengan nasib anaknya tambahan pula dia kini bertugas di Penjara Jawi untuk pemeriksaan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, setakat ini sebanyak RM70,000-00 dana telah berjaya dikutip hasil sumbangan daripada kawan-kawan namun masih kekurangan RM10,000.

Dalam pada itu, Pengerusi One Hope Charity and Welfere, Chua Sui Hui berkata, bagi membantu kedua-dua bayi berkenaan pihaknya melancarkan tabung khas bagi mengumpul dana untuk mereka.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun One Hope Charity & Welfare Berhad di akaun Public Bank Berhad 3193433435.