Covid-19: Ketengah bantu 500 keluarga terjejas

Sebahagian bantuan yang disalurkan Ketengah kepada seramai 500 penduduk di mukim Rasau yang terjejas akibat Covid-19
Sebahagian bantuan yang disalurkan Ketengah kepada seramai 500 penduduk di mukim Rasau yang terjejas akibat Covid-19
A
A
A

DUNGUN – Sebanyak 500 keluarga di mukim Rasau di sini menerima bantuan keperluan harian membabitkan peruntukan RM338,700 susulan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di kawasan tersebut.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, sumbangan itu disalurkan bersama anak syarikatnya, Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB) bagi membantu keluarga yang terjejas akibat pandemik itu.

“Penularan gelombang ketiga Covid-19 di mukim Rasau, Dungun memberi impak ekonomi kepada penduduk sekitar. Agihan bantuan dilakukan semalam melibatkan 500 buah keluarga yang dikenal pasti antaranya dari mukim Rasau, Dungun dan kampung tradisi dalam Wilayah Ketengah.

“Setiap keluarga menerima bantuan barangan keperluan asas. Bekalan ini terus dihantar ke beberapa lokasi berhampiran bagi memudahkan proses agihan kepada keluarga terlibat melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemimpin setempat bagi mengelak penerima keluar rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebahagian yang terlibat bagi agihan bantuan Covid-19 di mukim Rasau, Dungun bagi penduduk yang terjejas akibat penularan pandemik itu.
Sebahagian yang terlibat bagi agihan bantuan Covid-19 di mukim Rasau, Dungun bagi penduduk yang terjejas akibat penularan pandemik itu.

Razali berkata, pihaknya akan sentiasa menyalurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik itu.

“Sebelum ini ketika gelombang pertama Covid-19, seramai 86 pengusaha sektor pelancongan telah dibantu membabitkan peruntukan sebanyak RM152,700 manakala KHSB turut menyalurkan RM70,000 kepada Tabung Bantuan Covid-19 Terengganu bagi agihan secara menyeluruh di Terengganu,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mukim Rasau sebagai satu daripada tiga mukim berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok hingga 20 November.

Artikel Berkaitan: