Berpusu-pusu pulang ke rumah sebelum PKPB

Keadaan trafik yang masih dipenuhi kenderaan walaupun PKPB telah dikuatkuasan lewat malam tadi.
Keadaan trafik yang masih dipenuhi kenderaan walaupun PKPB telah dikuatkuasan lewat malam tadi.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Keadaan trafik di beberapa laluan menuju ke kawasan Mukim 12 Daerah Barat Daya sesak walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah mula dikuatkuasa bermula jam 12 tengah malam tadi.

Tinjauan yang dilakukan mendapati terdapat ratusan kenderaan dilihat masuk melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah untuk pulang ke rumah mereka yang terletak di dalam Mukim 12.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan berkata, melalui pemeriksaan yang dilakukan mendapati ramai membuat keputusan pada saat akhir untuk pulang ke rumah bagi menjalani tempoh penguatkuasaan PKPB yang bermula hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka diberi penerangan mengenai SOP yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh PKPB termasuk memastikan sebuah kenderaan tidak dinaiki melebihi dua orang.

Malah beliau mengingatkan penduduk sekitar kawasan terbabit agar sentiasa membawa surat pengesahan untuk bekerja dan mempunyai bukti kukuh lain sekiranya mereka mahu masuk atau keluar ke dalam kawasan PKPB.

Sebanyak 10 sekatan jalan raya dibuat di sekitar kawasan PKPB Mukim 12 Daerah Barat Daya bermula malam tadi.
Sebanyak 10 sekatan jalan raya dibuat di sekitar kawasan PKPB Mukim 12 Daerah Barat Daya bermula malam tadi.

"Bermula jam 12 tengah malam tadi kita telah mula kuatkuasakan PKPB dan saya berharap semua penduduk yang terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk kebaikan semua.

"Sekiranya kita dapat kesan individu yang melanggar dan gagal mematuhi SOP, tindakan tegas termasuk kompaun akan dikenakan terhadap mereka tanpa sebarang kompromi," katanya ketika ditemui media semasa membuat tinjauan di lokasi sekatan jalan raya PKPB malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Anbalagan berkata, seramai 328 pegawai dan anggota polis serta beberapa agensi bantuan lain akan bertugas sepanjang tempoh PKPB di kawasan berkenaan.

Katanya, antara agensi yang terlibat termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkatan Tentera Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Semua anggota yang terlibat akan bersama dalam 10 sekatan jalan raya yang dibuat di beberapa laluan utama untuk masuk ke kawasan Mukim 12.

"Dua SJR akan dilaksanakan di susur keluar dan masuk Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Batu Maung, Queensbay dan Jalan Teluk Kumbar.

"Manakala di Lebuh Raya Dr. Lim Choong Eu dekat Pantai Jerejak, Shell Sungai Nibong dan Jalan Dato Ismail Hashim masing-masing membabitkan hanya satu sekatan," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan membuat tambahan sekatan jalan raya di kawasan lain, Anbalagan berkata ia bergantung kepada keadaan semasa dan akan dilakukan sekiranya diperlukan.

Anbalagan berkata, orang ramai khususnya penduduk yang terlibat di kawasan PKPB diingatkan sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan atau bakal berdepan dengan tindakan kompaun.

Anbalagan membuat pemeriksaan dalam sekatan jalan raya berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah lewat malam tadi.
Anbalagan membuat pemeriksaan dalam sekatan jalan raya berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah lewat malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata,pergerakkan keluar dan masuk pekerja di Zon Perindustrian Bayan Lepas (FTZ) perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan daripada majikan masing-masing atau mempamerkan pas pengesahan pekerja di lokasi SJR.

"Bagi penumpang perkhidmatan udara, mereka yang akan memasuki ke kawasan PKPB ini juga perlu mempamerkan surat kebenaran daripada majikan.

"Hanya mereka yang mempunyai kecemasan atau atas urusan kerja sahaja yang dibenarkan merentasi kawasan PKPB dan sebarang penganjuran majlis kenduri atau hari jadi tidak dibenarkan,"katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Mukim 12 Daerah Barat Daya Pulau Pinang berkuat kuasa pada 6 November sehingga 19 November depan.

Ini berikutan sehingga 3 November lalu, sebanyak 35 kes positif Covid-19 termasuk 11 kes baharu telah direkodkan di mukim berkenaan.