X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan paling bersejarah

Belanjawan kali ini tentunya paling diingati kerana dibentangkan dalam suasana normal baharu di Parlimen.
A
A

SHAH ALAM - Pembentangan Belanjawan 2021 oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat hari ini disifatkan sebagai paling penting dalam sejarah Malaysia ketika negara bergelut memerangi penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketika jutaan rakyat berdebar menunggu insentif yang bakal diumumkan, Belanjawan 2021 juga dilihat sebagai ujian kritikal ke atas pentadbiran kerajaan PN yang mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Dari satu sudut, ia merupakan satu peluang untuk kerajaan PN membuktikan kebolehan dalam merangka belanjawan yang cukup komprehensif serta mampu mencapai matlamat yang diharapkan.

Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, belanjawan kali ini tentunya paling diingati kerana dibentangkan dalam suasana normal baharu di Parlimen selain berdepan situasi berbeza susulan terdapat gesaan dan sokongan khususnya daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, katanya, apakah ia akan meliputi kesemua aspek komprehensif sehingga menepati kehendak rakyat kerana inisiatif terdahulu kerajaan PN menyebabkan rakyat menjadi sangat berminat dan menaruh harapan.

Dr Barjoyai Bardai
Dr Barjoyai Bardai

Beliau berkata, Belanjawan 2021 perlu memenuhi empat matlamat utama iaitu menyediakan sumber kewangan yang cukup bagi memerangi Covid-19; keperluan untuk kelangsungan hidup rakyat; merangsang pertumbuhan ekonomi; dan memenuhi keperluan perbelanjaan kerajaan pada tahun depan.

“Kita tahu antara insentif yang ditunggu-tunggu rakyat ialah lanjutan tempoh moratorium dan kebenaran pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) maksimum RM10,000.

“Namun perkara berkaitan akaun satu KWSP itu bukan satu aspek yang besar walaupun kerajaan mungkin bersetuju tetapi bersyarat.

“Jika ia dimasukkan dalam belanjawan, kerajaan mungkin memperkenalkan langkah memastikan setiap penyimpan lebih bertanggungjawab dan membuat caruman setiap bulan bagi menampung kehilangan akibat pengeluaran tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Barjoyai berkata, beliau melihat harapan rakyat yang lebih penting ialah pertama, akan dapat membantu setiap golongan yang memerlukan dan mereka itu perlu didefinisikan secara terperinci bermula dengan individu yang hilang pekerjaan, hilang sumber pendapatan keluarga, miskin serta memerlukan bantuan kerana pendapatan tidak cukup.

“Mereka mengharapkan bantuan lebih daripada apa yang diperoleh dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kerana bantuan sebelum ini ada yang memperoleh RM300 sebulan serta sebahagian lagi dapat RM200 dan RM100 sebulan.

“Jumlah itu tidak memadai. Mereka mahu melihat bantuan itu cukup untuk menampung keperluan,” katanya.

Barjoyai berkata, sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan, terdapat beberapa langkah yang boleh dibuat iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin perlu merujuk kepada Seri Paduka dan memohon penyelesaian yang boleh dibuat pada masa itu dengan mengisytiharkan darurat.

“Setelah itu, Seri Paduka perlu meluluskan Ordinan Belanjawan sendiri kerana mempunyai kuasa untuk melakukannya.

“Lagipun kita masih ada masa sehingga Disember ini untuk memastikan belanjawan berkenaan diluluskan sebelum dilaksanakan pada tahun depan.

“Namun impak lebih buruk jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan ialah ia akan mewujudkan keresahan dalam kalangan rakyat. Saya rasa kemungkinan ia diluluskan oleh semua ahli Dewan Rakyat adalah tinggi,” katanya.

Sementara itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma berkata, beliau melihat pembentangan Belanjawan 2021 sebagai satu bajet yang berat dan unik.

Madeline Berma
Madeline Berma

Beliau berkata, ia merupakan belanjawan kedua selepas belanjawan pada 2018 di mana parti pembangkang dilihat mempunyai kuasa serta suara yang kuat untuk menolak atau tidak meluluskannya.

“Jadi kerajaan PN harus memastikan Belanjawan 2021 yang dibentangkan itu memihak kepada rakyat.

“Jika ia tidak bersifat rakyat centric atau tidak condong kepada kesejahteraan rakyat, kerajaan perlu berdepan parti pembangkang.

“Namun saya percaya, belanjawan kali ini bukan lagi di tahap ‘bajet bodoh’ atau ada unsur politik kerana proses untuk merangkanya sudah diperhalusi melibatkan input-input yang diperoleh hasil perbincangan kerajaan dengan pelbagai pihak termasuk pembangkang, NGO, ahli perniagaan serta rakyat,” katanya.

Madeline turut menjangkakan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada petang ini mengutamakan aspek kesejahteraan rakyat merangkumi kesihatan serta ekonomi.

JUMLAH PERUNTUKAN BELANJAWAN TERDAHULU

Belanjawan 2018

Kerajaan Barisan Nasional (BN) memperuntukkan sebanyak RM280.25 bilion melibatkan RM234.25 bilion perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Belanjawan 2019

Merupakan belanjawan pertama di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan memperuntukkan sejumlah RM314.5 bilion dalam perbelanjaan.

Belanjawan 2020

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM297 bilion dan ia tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2 bilion.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!