Misteri mayat kepala dipenggal, darah diambil

Penduduk di bandar Fana diselubungi ketakutan kerana misteri pembunuhan itu masih belum terungkai. - Foto: Agensi
Penduduk di bandar Fana diselubungi ketakutan kerana misteri pembunuhan itu masih belum terungkai. - Foto: Agensi
A
A
A

BAMAKO - Misteri penemuan mayat dipenggal kembali menggemparkan selatan Mali.

Pihak berkuasa hari ini memaklumkan ia adalah kejadian kesembilan dalam tempoh dua tahun di bandar Fana dan pembunuhnya masih gagal ditemui hingga kini.

Mangsa terbaharu tersebut adalah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an dan mempunyai empat anak.

"Mayatnya dijumpai dalam keadaan mengerikan di bilik tidurnya pagi semalam," ujar jurucakap pihak berkuasa.

Sementara itu, pendakwa raya awam bandar itu, Boubacar Diarra berkata, corak pembunuhan itu sama seperti sebelum ini.

"Kepalanya dipenggal dan darahnya diambil," ujarnya yang menjelaskan penyiasat percaya kesemua sembilan pembunuhan sebelum ini mempunyai kaitan.

Insiden tersebut turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kira-kira 36,000 penduduk yang percaya ia satu bentuk ritual.

Sehingga kini, penyiasat juga gagal mengenal pasti motif atau pembunuh bertanggungjawab walaupun berdepan tekanan banyak pihak termasuk mendapat perhatian media di rantau Afrika Barat. - AFP

Artikel Berkaitan: