Presiden Kosovo letak jawatan demi perbicaraan

Thaci mahu melindungi integriti pejabat presiden dan maruah rakyat. - Foto: Agensi
Thaci mahu melindungi integriti pejabat presiden dan maruah rakyat. - Foto: Agensi
A
A
A

PRISTINA - Presiden Kosovo, Hashim Thaci meletak jawatan hari ini untuk menghadapi perbicaraan di mahkamah jenayah perang di The Hague yang dilihat sebagai keputusan dramatik buat ahli politik yang telah memerintah bekas wilayah Serbia selama lebih sedekad.

Thaci, 52, memaklumkan beliau membuat keputusan itu selepas pemimpin terbabit berdepan dakwaan melakukan jenayah perang ketika konflik tercetus dengan Serbia pada 1990-an.

"Saya tidak akan tampil di mahkamah sebagai Presiden Kosovo. Oleh itu, saya memutuskan untuk berundur sebagai usaha melindungi integriti pejabat presiden dan maruah rakyat," katanya pada sidang akhbar di Pristina.

Sebelum ini, Thaci berulang kali menafikan beliau bersalah dan menyatakan ia penglibatannya sebagai ketua politik tentera pemberontak Kosovo adalah untuk menuntut kebebasan daripada penindasan oleh Serbia.

"Ia bukan satu keputusan yang mudah buat saya dan mereka yang telah menyokong saya dan percaya dengan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan sejak tiga dekad lalu," jelasnya lagi.

Jun lalu, pendakwa raya mendakwa beliau dengan 10 pertuduhan jenayah termasuk dakwaan membunuh dan melakukan penganiayaan.

Beliau akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Kosovo (KSC) yang ditubuhkan pada 2015 dan beroperasi di bawah undang-undang negara itu, namun berpusat di The Hague. - AFP

Artikel Berkaitan: