X70 - Model Proton serba canggih

No Image Caption
A
A
A

SEBELUM pelancarannya lagi, X70 sudah pun menarik perhatian orang ramai kerana menjadi kenderaan utiliti sukan pertama Proton dengan menjadi model yang melengkapi kereta dan kenderaan yang dikeluarkan syarikat automobil nasional negara itu.

Tampil dengan pelbagai ciri dan teknologi canggih, ramai yang nyata kagum dengan X70 semasa ia dilancarkan pada 12 Disember lalu.

Satu daripada ciri yang menjadi bualan ramai adalah sistem arahan suara yang membolehkan pemandu atau penumpang berhubung dengan kenderaan itu, seperti mana kereta hebat yang dipaparkan dalam 'Knight Rider', siri televisyen Amerika Syarikat yang popular dari 1982 hingga 1986.

Dengan memanfaatkan teknologi kesalinghubungan, ciri arahan suara yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan membolehkan pemandu atau penumpang mengawal fungsi tertentu kenderaan itu dengan memberi arahan lisan.

Pengalaman memandu uji kenderaan itu pada satu majlis anjuran Proton di Langkawi baru-baru ini memberi peluang kepada penulis ini untuk mengenali X70 dengan lebih dekat.

Serba canggih

Wartawan media penyiaran, cetak dan dalam talian yang menyertai sesi memandu uji X70 didedahkan kepada sistem bantuan pemandu (ADAS) yang terdiri daripada gabungan ciri-ciri yang boleh memperluaskan pengalaman pemanduan dan meningkatkan keselamatan.

Ciri-ciri ADAS merangkumi sistem brek kecemasan automatik (AEB) yang secara automatiknya mengaktifkan brek kereta untuk mengelak kemungkinan berlaku perlanggaran, dan kawalan pemanduan adaptif (ACC) yang mengekalkan jarak selamat dari kenderaan di hadapan apabila kawalan pemanduan itu digunakan.

Para peserta turut didedahkan kepada amaran keluar lorong (LDW) yang memberi amaran kepada pemandu jika kenderaan itu tersasar keluar dari lorong secara tidak sengaja serta kawalan menuruni bukit (HDC) yang mengekalkan kadar kelajuan kenderaan pada empat kilometer (km) sejam.

Artikel Berkaitan:

Semasa sesi membiasakan peserta dengan sistem kamera 360 darjah dan sensor meletak kenderaan itu, mereka diminta memandu X70 dalam keadaan tingkap, cermin sisi dan cermin belakangnya ditutup dan hanya dibimbing oleh paparan kamera serta arahan jurulatih profesional.

Ia memberi peserta suatu pengalaman yang menarik dan umpama berada dalam adegan filem 'Bird Box', yang dibintangi Sandra Bullock, di mana para pelakonnya perlu memandu kereta dengan tingkap, cermin depan dan cermin belakang dicat hitam supaya tidak mudah dimasuki roh jahat yang boleh merasuk pemandu supaya membunuh diri.

Lancar responsif dan adaptif di jalan raya

Prestasi X70 di jalan raya nyata tidak boleh dipersoalkan dengan enjin suntikan terus turbin turbo 1.8 liter dan transmisi automatik enam kelajuan dengan mod manual bagi memastikan perjalanan yang lancar, responsif dan adaptif.

Kenderaan itu juga menawarkan mod pemanduan eko dan sukan yang boleh disesuaikan dengan gaya pemandu.

Bagi ciri-ciri kesalinghubungan, sistem arahan suara yang menjadi perbualan ramai itu sebenarnya kurang menepati jangkaan kerana tindak balas kenderaan itu terhadap arahan suara seolah-olah lambat dan ada masanya, ia tidak dapat mengenal pasti arahan pemandu.

Ini mungkin kerana sambungan Internet yang lemah di beberapa kawasan di Langkawi semasa X70 dipandu uji, memandangkan sistem arahan suara memerlukan sambungan Internet untuk melaksanakan fungsinya.

Sementara itu, satu lagi ciri kesalinghubungan yang menarik untuk diperkatakan adalah sambungan telefon pintar yang membolehkan pemandu memantau dan menggunakan fungsi tertentu kenderaan itu dengan menggunakan aplikasi telefon pintar.

Fungsi jarak jauh

Sebaik sahaja aplikasi telefon pintar disambungkan ke kenderaan itu, pemiliknya boleh menyemak butiran kenderaan seperti model, warna, nombor casis, nombor enjin dan nombor pendaftaran melalui aplikasi tersebut.

Aplikasi itu juga akan menunjukkan perbatuan, penggunaan purata bahan api, purata kelajuan, jarak memandu yang ada berdasarkan paras petrol dalam tangki serta lokasi kenderaan itu.

Fungsi jarak jauh aplikasi itu pula boleh membuka pintu dan boot yang berkunci, serta membuka tingkap sekiranya pintu terkunci secara automatik dengan kunci berada di dalam kenderaan itu. Aplikasi itu juga boleh digunakan untuk menghidupkan hon dan lampu sekiranya pemandu terlupa lokasi kenderaan itu diletakkan.

Fungsi lain aplikasi tersebut adalah merakam semua perjalanan kenderaan dalam satu log. Ciri itu boleh dihentikan tetapi sebaik sahaja log perjalanan direkodkan, ia tidak boleh dipadamkan.

Secara keseluruhannya, pengalaman memandu uji X70 sememangnya menyeronokkan.

Teknologi yang digunakan kenderaan itu, bagaimanapun, bukanlah sesuatu yang baharu sementara sistem arahan suara pula telahpun digunakan oleh kenderaan-kenderaan lain yang berharga jauh lebih tinggi.

Harga Proton X70 atas jalan dan tanpa insurans adalah antara RM99,800 hingga RM123,800. - Bernama