Ancaman virus bawaan haiwan

Pihak berkuasa kesihatan Kanada sedang mengenal pasti asal virus H1N2 yang pertama kali dilaporkan di negara tersebut. - Foto: Agensi
Pihak berkuasa kesihatan Kanada sedang mengenal pasti asal virus H1N2 yang pertama kali dilaporkan di negara tersebut. - Foto: Agensi
A
A
A

MONTREAL - Pihak berkuasa kesihatan Kanada semalam melaporkan kes pertama manusia dijangkiti virus selesema babi yang jarang berlaku, H1N2 ketika dunia masih bergelut dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Kes tersebut dikesan di wilayah barat Alberta pada pertengahan bulan lalu dan dikatakan sebagai ‘kes terpencil dan tidak berisiko tinggi’ kepada penduduk setempat.

“Ia adalah kes tunggal yang dilaporkan di Alberta ketika musim selesema,” kata pegawai kesihatan dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pesakit yang tidak didedahkan identiti itu mengalami simptom ringan influenza dan dia telah menjalani ujian serta disahkan sembuh.

“Tiada bukti menunjukkan virus itu telah merebak kepada individu lain,” katanya.

Susulan itu, pihak berkuasa kesihatan di Kanada kini sedang melakukan kajian untuk mengenal pasti asal virus tersebut selain memastikan ia belum merebak ke tempat lain.

Sejak 2005, hanya 27 kes individu dijangkiti H1N2 direkodkan di seluruh dunia dan tidak pernah dicatatkan di negara itu sebelum ini.

Difahamkan, ia bukan virus berkaitan makanan dan tidak disebarkan kepada manusia melalui pengambilan produk makanan berasaskan khinzir sebaliknya jangkitan itu boleh berlaku apabila individu terdedah dengan haiwan spesies tersebut yang dijangkiti.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, wilayah Kagawa di Jepun akan memusnahkan kira-kira 330,000 ayam di sebuah ladang selepas wabak selesema burung pertama jenis H5 dilaporkan di negara itu dalam tempoh lebih dua tahun.

Jurucakap Kementerian Pertanian memaklumkan kesemua haiwan ternakan di Mitoyo, bandar Kagawa disahkan positif wabak paling patogenik itu ketika ujian pemeriksaan awal dilakukan pada hari ini.

Kira-kira 3,800 ayam dilaporkan mati dalam tempoh empat hari hingga kelmarin.

Kali terakhir wabak selesema burung melanda negara itu adalah pada Januari 2018 apabila 91,000 ayam di sebuah ladang di bandar Sanuki, wilayah Kagawa terpaksa dihapuskan akibat dijangkiti virus H5N6.

Sementara itu, Belanda mengarahkan kira-kira 200,000 ayam dihapuskan selepas virus selesema burung H5N8 turut ditemui di sebuah ladang ternakan di bandar Puiflijk.

Langkah tersebut juga melibatkan haiwan ternakan di ladang kedua yang terletak dalam lingkungan satu kilometer daripada lokasi asal. - Agensi