X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan bawa Covid-19 balik kampung

Dr Noor Hisham pada sidang akhbar situasi terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan semalam. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Jangan bawa jangkitan koronavirus (Covid-19) pulang ke kampung, tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, individu yang berada di zon merah atau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang pulang ke kampung merisikokan warga emas, ibu bapa dan ahli keluarga lain.

"Ada risiko kita membawa jangkitan kepada keluarga di kampung," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kes seorang jururawat dari Selangor yang pulang ke Kelantan dan didapati positif Covid-19.

Ia telah mengakibatkan negeri itu merekodkan empat jangkitan baharu termasuk bayi berusia 22 hari yang juga anak saudaranya.

Tiga mangsa lain adalah neneknya berusia 75 tahun, ibu serta adik kepada jururawat berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, seramai 127 individu telah disaring melibatkan kes tersebut.

"Jumlah itu merangkumi seramai 40 rakan sekerja dan 87 kenalan serta ahli keluarga," kata beliau.

Sebelum ini, jururawat pusat perubatan itu dilapor pulang ke kampung di Kuala Balah, Jeli bersama seorang rakannya pada Oktober lalu sebelum kembali ke Selangor.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, jumlah kes baharu Covid-19 di Malaysia semalam masih mencatatkan angka empat digit iaitu 1,009 kes menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu kini 10,503 kes.

“Daripada jumlah kes baharu, sebanyak 1,000 kes adalah penularan dalam negara manakala sembilan kes lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu dua kes dari India manakala satu kes masing-masing dari Kazakhstan, Indonesia, Korea Selatan, Nigeria, Afrika Selatan, Mexico dan Kemboja.

"Kesemua kes baharu melibatkan kes-kes di Sabah sebanyak 564 kes, Selangor (177), Labuan (92), Negeri Sembilan (90), Pulau Pinang (36), Kuala Lumpur (14), Kedah (7), Sarawak (6), Perak (6), Melaka (5), Johor (2) dan Putrajaya (1)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat enam kes kematian direkodkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah 277 kes manakala 78 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!