Wajar pertimbang pengeluaran KWSP dengan bersyarat

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan pengeluaran wang akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersyarat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara syarat perlu dipertimbangkan ialah melibatkan latar belakang pemohon dan had bagi pengeluaran wang daripada akaun tersebut.

“Walaupun kerajaan dilihat berkemampuan untuk melaksanakan inisiatif itu, namun beberapa syarat perlu ditetapkan supaya wang ini hanya dikeluarkan oleh mereka yang benar-benar memerlukan serta bagi kes-kes yang munasabah, bukan meliputi semua pencarum sebagaimana yang dilakukan sebelum ini.

“Jumlah wang juga seharusnya tidak begitu besar dan cukup sekadar untuk menyelesaikan hal-hal kecemasan dalam kalangan pencarum yang layak bagi menjamin simpanan masa depan mereka.

“Jika cadangan itu dipertimbangkan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat dalam meneruskan kelangsungan hidup,” katanya kepada pemberita di wad Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri ditemui selepas menerima sumbangan bernilai RM1 juta daripada anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Permint Granite Sdn Bhd bagi membantu rakyat yang terjejas banjir di negeri ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan juga wajar melihat saranan bagi mempertimbangkan tempoh moratorium bagi mereka yang dihimpit kesusahan akibat pandemik koronavirus (Covid-19)

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersetuju untuk mengkaji saranan pengeluaran simpanan dalam akaun satu KWSP dalam usaha membantu rakyat yang berdepan kesusahan dan benar-benar memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengeluaran duit itu dengan menghadkan pengeluaran secara one-off sehingga RM10,000 daripada akaun tersebut.

Beliau berkata, ia wajar dipertimbangkan bagi kegunaan rakyat yang terjejas kehidupan akibat Covid-19.