Deepavali: Tiada pergerakan rentas kawasan PKPB, PKPD dibenarkan

Anggota polis membuat sekatan jalan raya di Jalan Sabindo-Papar berikutan perintah larangan rentas daerah bagi mengelak penularan Covid-19. - Foto Bernama
Anggota polis membuat sekatan jalan raya di Jalan Sabindo-Papar berikutan perintah larangan rentas daerah bagi mengelak penularan Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada pergerakan rentas mukim, daerah atau negeri dibenarkan bagi mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk tujuan balik kampung bersempena Deepavali, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, itu antara dipersetujui pada sidang khas hari ini yang mendengar pembentangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai prosedur operasi standard (SOP) sambutan Deepavali pada 14 November ini.

Beliau berkata, sidang khas itu juga bersetuju penganut Hindu di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKPB dibenarkan mengikuti upacara keagamaan pada hari pertama sambutan dengan SOP yang ketat.

"Bagaimanapun, aktiviti sembahyang di rumah ibadat, aktiviti ziarah dan perniagaan adalah tidak dibenarkan dalam kawasan PKPD," katanya pada sidang akhbar perkembangan PKPP di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kuil hanya dibuka dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dengan upacara disertai tidak lebih 30 orang pada satu-satu masa, bergantung pada keluasan premis.

"Sesi sembahyang itu perlu dibahagikan kepada lima sesi (30 minit setiap sesi) dengan diselangi operasi sanitasi selama 30 minit dengan manisan juga perlu diagihkan secara bungkus kepada penganut dan mereka perlu bersurai selepas selesai upacara sembahyang," katanya.

Mengenai sambutan di rumah, Ismail Sabri berkata, hanya maksimum 20 orang terdiri daripada keluarga terdekat dibenarkan bagi kediaman bertanah sementara kediaman strata pula tidak boleh melebihi 10 orang bagi keluasan kurang 1,500 kaki persegi (kps) dan maksimum 15 orang untuk premis berkeluasan 2,500 kps.

Sementara itu, beliau berkata, polis menahan 506 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam merangkumi kegagalan merekod butiran pelanggan (145); tidak memakai pelitup muka (124); gagal mematuhi arahan penjarakkan fizikal (96); aktiviti pusat hiburan (72); premis beroperasi lebih masa (17) dan lain-lain (52).

Artikel Berkaitan:

Mengulas Operasi Benteng, katanya, seramai 41 pendatang asing tanpa izin, dua tekong dan dua penyeludup ditahan semalam serta lima kenderaan darat dirampas. - Bernama