Bapa pukul anak ketika kelas online

Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul anak perempuannya berusia 12 tahun di sebuah rumah di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian itu disedari seorang guru di sebuah sekolah rendah di Shah Alam yang membuat kelas dalam talian bersama pelajarnya.

"Guru berusia 36 tahun itu mendakwa telah melihat mangsa berusia 12 tahun telah dipukul oleh suspek dengan menggunakan sebatang kayu atau tongkat di belakang badannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, guru berkenaan kemudian membuat laporan polis pada jam 3.16 petang.

"Bertindak atas maklumat tersebut, kita menahan suspek di tempat letak kereta di Seksyen 8 di sini.

"Siasatan mendapati tindakan suspek memukul anaknya supaya lebih peka dalam kelas online (dalam talian)," katanya.

Nik Ezanee berkata, suspek berkenaan bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Suspek telah diberi jamin polis atas faktor kesihatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melakukan penilaian dan membuat keputusan agar mangsa diserahkan kembali kepada keluarganya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.