Nelayan dikhuatiri lemas jatuh bot

Bot dinaiki mangsa sebelum dia dilaporkan terjatuh dalam kejadian kira-kira 24 batu nautika timur Kuantan malam kelmarin. - Foto Ihsan APMM
Bot dinaiki mangsa sebelum dia dilaporkan terjatuh dalam kejadian kira-kira 24 batu nautika timur Kuantan malam kelmarin. - Foto Ihsan APMM
A
A
A

KUANTAN - Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan kira-kira 24 batu nautika Timur Kuantan malam kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu melibatkan warga tempatan dikenali sebagai Muhammad Aminullah Azmi, 29.

Menurutnya, sejurus menerima aduan melalui Pusat Sub Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan, operasi carilamat diaktifkan pada jam 10.50 pagi kelmarin dengan menggerakkan Bot Maritim Kilat 50 ke lokasi kejadian.

"Ini adalah kejadian kedua nelayan terjatuh dari bot ketika menangkap ikan dalam tempoh tiga hari selepas kejadian pertama di perairan Endau, Rompin, kelmarin (Selasa lalu).

"Dalam kedua-dua kes ini, semua mangsa difahamkan tidak memakai jaket keselamatan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Amran berkata, keadaan laut yang bergelora dan cuaca buruk menyukarkan operasi carilamat mangsa terlibat.

Muhammad Aminullah dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan kira-kira 24 batu nautika timur Kuantan malam kelmarin. - Foto Ihsan APMM
Muhammad Aminullah dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan kira-kira 24 batu nautika timur Kuantan malam kelmarin. - Foto Ihsan APMM

"Operasi carilamat mangsa disambung awal pagi ini (semalam) oleh kapal maritim KM Pekan yang sedang beroperasi mencari mangsa yang hilang di perairan Endau sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Pencarian mangsa hilang di Perairan Endau yang masuk hari ketiga disambung oleh KM Tatau dan dibantu bot Kilat 14 dari Zon Maritim Mersing bersama bot PSC 31 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan pencarian masih diteruskan melibatkan keluasan kawasan pencarian bagi kedua-dua kes itu kira-kira 960 batu nautika persegi.

"Operasi turut dibantu dua buah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebuah pesawat udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta dibantu tujuh bot nelayan tempatan," katanya.

Katanya, komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan sentiasa memakai jaket keselamatan semasa di laut serta peka dengan perubahan semasa cuaca bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Mereka juga diingatkan supaya menyalurkan maklumat serta-merta sekiranya berlaku sebarang kemalangan di laut kerana pihak Maritim Malaysia sebagai peneraju operasi carilamat di Zon Maritim Malaysia.

"Segala aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 dan MRSC Kuantan di talian 09-5717368," katanya.