Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara

Laporan Sinar Harian berhubung kes tembak ahli perniagaan dan pengawal peribadi di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting pada 25 September lalu.
Laporan Sinar Harian berhubung kes tembak ahli perniagaan dan pengawal peribadi di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting pada 25 September lalu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Polis telah merujuk kertas siasatan berhubung kejadian ahli perniagaan dan pengawal peribadi ditembak di Jalan Sultan Abdul Samad Banting di sini ke Pejabat Peguam Negara pada 27 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, Pejabat Peguam Negara akan menilai dan mengkaji bagi melaksanakan pertuduhan di bawah jenayah terancang ke atas semua suspek.

"Kita berharap kejayaan menuduh suspek ini akan dapat mengekang dan seterusnya menghapuskan aktiviti-aktiviti berunsurkan gengsterisme dan jenayah terancang sekitar Banting, Kuala Langat dan Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadzil berkata, pihaknya dan JSJ Bukit Aman telah melakukan operasi besar-besaran dan berjaya membuat tangkapan ke atas seramai 19 orang yang disyaki terlibat dengan aktiviti gengsterisme serta jenayah terancang.

"Siasatan susulan dibuat untuk mengambil tindakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ke atas kumpulan ini.

"Seterusnya 10 orang lagi ditangkap menjadikan keseluruhan 29 orang suspek," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sekurang-kurangnya tiga pelajar cedera selepas dirempuh sebuah kereta dinaiki dua lelaki yang cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok pada 25 September lalu.

Dalam kejadian 12.45 tengah hari itu, dua lelaki berkenaan dipercayai ditembak oleh dua individu yang menaiki sebuah motosikal.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, 12 individu dipercayai ahli kongsi gelap Geng 21 berusia antara 26 hingga 36 tahun ditahan dalam operasi khas di sekitar Banting, Sungai Emas, Sungai Jarom dan Telok Panglima Garang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman dilaporkan berkata, lima kesan tembakan mengenai pengawal peribadi yang diserang dua lelaki bermotosikal di hadapan SMK Telok Datok di sini.

Kesan tembakan itu ditemui hasil pemeriksaan doktor ke atas mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang di sini.

Seorang lagi individu yang juga majikan kepada pengawal peribadi itu pula terkena dua das tembakan masing-masing di bahagian lengan kiri dan rusuk kanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua lelaki parah ditembak rempuh pelajar sekolah

Kes tembak ahli perniagaan: 19 individu ditahan