Syarikat pembalakan dapat injuksi kekal terhadap lapan penduduk

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan dua syarikat pembalakan untuk mendapatkan injunksi kekal secara inter-parte terhadap lapan penduduk yang didakwa melakukan kacau ganggu serta menghalang kerja mengambil hasil hutan berhampiran Kampung Baharu di Jerantut, kira-kira 120 kilometer dari sini.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa terdapat asas untuk mahkamah membenarkan permohonan syarikat berkenaan selaku plaintif selepas meneliti afidavit yang difailkan kedua-dua pihak berhubung isu melibatkan lesen pembalakan di Komparment 1 Hutan Simpan Jerantut seluas 202.61 hektar.

Dalam penghakimannya, Zainal Azman berkata, plaintif telah diberikan suatu hak untuk mengambil hasil hutan itu daripada Yayasan Pahang selaku pemegang konsesi selain Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang yang berkuasa untuk memberikan lesen telah berbuat demikian pada 28 Januari 2019, menunjukkan plaintif telah mematuhi syarat yang ditetapkan bagi urusan tersebut.

"Defendan pula menerusi afidavit mereka menyatakan telah menulis surat kepada Menteri Besar dan Pengarah Jabatan Perhutanan serta tidak menafikan ada melampirkan gambar yang jelas tidak relevan dengan kawasan yang menjadi perkara dalam kes ini, sebaliknya bagi menyatakan kegusaran mereka jika projek ini berjalan akan menyebabkan pencemaran sungai.

"Bagaimanapun, kawasan yang dikatakan defendan bukan komparment terlibat dan tidak khusus menyatakan inilah (pencemaran) yang akan terjadi jika komparment itu diteroka. Dalam hal ini, Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan projek tersebut selain Jabatan Perhutanan, dan plaintif seharusnya diberikan hak untuk merealisasikan perjanjian dengan Yayasan Pahang," katanya.

Zainal Azman kemudiannya menetapkan 13 hingga 15 April depan bagi perbicaraan penuh kes tersebut.

Dalam kes itu, Beijing Million Sdn Bhd dan Rosah Timber & Trading Sdn Bhd selaku plaintif menerusi peguam Datuk Jacob Goldie memfailkan saman pada 14 Julai lepas, terhadap lapan defendan bagi mendapatkan ganti rugi kerana didakwa melakukan kacau ganggu serta memuat naik kenyataan atau gambar tidak tepat di Facebook yang boleh menimbulkan kemarahan dan memberi kesan kepada kerja pembalakan tersebut.

Lapan defendan tersebut ialah Mohamed Said, 62; Mohamed Zarrif Mahmud, 29; Mohamad Hafizi Rosnan, 30; Saifulnizam Sulaiman, 33; Sukmarizal Nazman, 27; Shukran Firdaus Nazman, 29; Mohammad Zakirin Hasan, 36; dan Mohamad Lozi Mohd Nasir, 45, dengan semua mereka diwakili oleh peguam Charles Hector Fernandez.

Artikel Berkaitan:

Plaintif mendakwa telah mula membuat persediaan kerja dengan membawa masuk jentera ke tapak pada 19 Februari 2020, namun perbuatan defendan menganggu kerja tersebut menyebabkan pekerja mereka terpaksa meninggalkan kawasan itu dan membuat laporan polis untuk keselamatan diri.

Kejadian itu, menurut plaintif telah menyebabkan Pejabat Perhutanan Jerantut mengeluarkan surat penangguhan mengambil hasil hutan berkuat kuasa 20 Februari 2020 sehingga isu itu selesai, yang didakwa menyebabkan plaintif menanggung kerugian.

Plaintif mendakwa mereka telah mengarahkan peguam untuk menghantar notis kepada semua defendan bagi meminta mereka menghentikan aktiviti bantahan atau memuat naik kenyataan dan gambar tidak benar di Facebook pada 12 Februari 2020, namun tidak diendahkan defendan.

Tindakan itu menyebabkan plaintif pada 10 Jun, menghantar surat makluman kepada defendan memaklumkan mereka akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memohon perintah injuksi terhadap defendan. - Bernama