Peniaga kereta mewah rugi hampir RM1 juta

Galeri pameran kereta mewah dipecah masuk dan tiga kereta mewah yang ada di dalam galeri tersebut dilarikan dalam kejadian di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu awal pagi tadi
Galeri pameran kereta mewah dipecah masuk dan tiga kereta mewah yang ada di dalam galeri tersebut dilarikan dalam kejadian di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu awal pagi tadi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga kereta mewah terpaksa menanggung kerugian hampir RM1 juta selepas galeri pameran di Jalan Bukit Kecil di sini dipecah masuk dan tiga buah kereta mewah dilarikan tiga penjenayah dalam kejadian samun awal pagi tadi.

Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3. 15 pagi itu turut menyebabkan pengawal keselamatan bertugas di galeri pameran terbabit cedera di anggota badan dipercayai dicederakan penjenayah sebelum 'diselamatkan' pemilik kedai pengiklanan dalam keadaan tangan serta kaki diikat dengan tali.

Hanizam Yatim
Hanizam Yatim

Menurut saksi kejadian, Hanizam Yatim, 52, semasa hendak membuka kedainya yang terletak berdepan galeri pameran tersebut iaitu kira-kira jam 7.30 pagi tadi, dia ternampak seorang lelaki tua lingkungan umur 60-an yang hanya memakai 'boxer' dengan keadaan kedua-dua kaki dan tangan terikat di tepi jalan.

"Saya nampak mangsa meminta tolong dengan kenderaan yang lalu lalang di situ tetapi tiada seorang pun yang berani berhenti termasuk saya kerana takut melihat keadaannya ketika itu yang sangat menakutkan.

"Melihat keadaannya yang tidak terurus, saya ingatkan dia seorang bapa yang nyanyuk dan terlepas daripada rumah tetapi selepas terdengar jeritan dia meminta tolong barulah saya mengambil gambarnya dan menghantar kepada salah seorang daripada pekerja di situ yang dikenali menerusi aplikasi WhatsApp.

"Beberapa minit kemudian, barulah pekerja itu mengesahkan lelaki tersebut adalah pengawal keselamatan yang bertugas dan saya kemudiannya bergegas pergi selamatkan dia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi.

Hanizam berkata, mangsa sempat bercerita kepadanya yang dia diikat oleh tiga lelaki tidak dikenali yang memecah galeri pameran itu sebelum melarikan dua jenis Toyota Alphard dan sebuah Velfire, awal pagi tadi iaitu kira-kira jam 3.15 pagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.