JAWI benarkan kapasiti jemaah dalam zon hijau, kuning ditambah

Mohd Ajib Ismail
Mohd Ajib Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan bilangan jemaah solat Jumaat di masjid dan surau diperluaskan kepada satu pertiga daripada kapasiti ruang solat utama.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan itu diputuskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kebenaran itu melibatkan masjid dan surau yang berada dalam zon hijau dan kuning.

"Bagi zon merah, bilangan jemaah solat Jumaat dihadkan kepada 12 orang dan solat fardu dihadkan kepada tiga orang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Mohd Ajib berkata, bilangan jemaah solat fardu dihadkan kepada 30 orang tertakluk penjarakan fizikal dan keluasan dewan solat masjid serta surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa esok.

Selain itu, katanya, jumlah kehadiran dalam majlis akad nikah dibenarkan tidak melebihi 30 orang di zon hijau dan kuning sahaja.

"Semua ketetapan ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Sebelum ini, jumlah jemaah ditetapkan tidak melebihi 50 orang bagi solat Jumaat dan tidak melebihi 20 jemaah bagi solat fardhu di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 14 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia tertakluk kepada keluasan dewan solat dengan penjarakan satu meter antara jemaah.