Frontliners, penduduk di Semporna terus dibantu

Penduduk Semporna yang menerima bantuan makanan daripada Semporna Hero.
Penduduk Semporna yang menerima bantuan makanan daripada Semporna Hero.
A
A
A

SEMPORNA - Kira-kira 30 sukarelawan terdiri daripada pemain industri pelancongan di Semporna turun padang membantu penduduk di daerah ini yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid19).

Malah mereka juga turut membantu petugas barisan hadapan (frontliners) dengan pelbagai cara termasuk menyediakan penginapan, pengangkutan, makanan serta turut memberi sokongan moral bagi menggalakkan penduduk melakukan ujian Covid-19.

Pengkordinasi Semporna Hero, Jamilah Ang, 30, berkata, sejak pandemik ini berlaku terutama selepas kes Covid-19 meningkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, mereka sudah tidak boleh meneruskan aktiviti pelancongan di daerah itu.

"Disebabkan rata-rata tiada kerja kerana tidak dapat beroperasi, saya bersama pengusaha pelancongan yang lain termasuk pemilik resort dan tenaga pengajar selaman serta beberapa yang lain melakukan kerja-kerja sukarela bagi membantu mengumpul dana untuk penduduk yang terjejas akibat Covid-19.

Sukarelawan Semporna Hero mengagihkan bantuan kepada penduduk beberapa lokasi di Semporna.
Sukarelawan Semporna Hero mengagihkan bantuan kepada penduduk beberapa lokasi di Semporna.

"Kami terlibat menghantar bantuan makanan serta mengumpul dana atau makanan yang disumbangkan orang ramai untuk diagihkan kepada penduduk.

"Dalam masa sama, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain supaya bantuan yang diberikan dapat diselaraskan dan tidak bertindih," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Jamilah yang juga seorang pengusaha resort di Semporna berkata, keadaan industri pelancongan di daerah itu yang lumpuh sejak pandemik melanda menyebabkan pihaknya menggunakan apa yang ada untuk membantu mereka yang terjejas dan memerlukan termasuk untuk frontliners.

Artikel Berkaitan:

"Dengan kemudahan yang kami ada seperti tempat penginapan, kami berikan frontliners menginap dengan harga yang maksimum dan menyediakan sarapan kepada mereka.

"Begitu juga dari segi pengangkutan seperti kenderaan dan bot, jika frontliners kita memerlukan, kami akan beri pinjam secara percuma untuk digunakan terutama mengambil sampel penduduk di sekitar kawasan daerah ini," katanya.

Menurutnya, disebabkan ramai penduduk sukar atau takut untuk menjalani saringan, pelbagai inisiatif diambil termasuk memujuk dengan menawarkan makanan kepada penduduk.

Sukarelawan Semporna Hero mengagihkan bantuan kepada penduduk beberapa lokasi di Semporna.
Sukarelawan Semporna Hero mengagihkan bantuan kepada penduduk beberapa lokasi di Semporna.

"Masyarakat di sini ada yang kurang berpendidikan dan takut untuk memberi kerjasama, jadi kami bantu frontliners memujuk mereka dengan memberikan coklat kepada kanak-kanak manakala bagi dewasa kami sumbangkan beras supaya mereka secara sukarela untuk menjalani ujian Covid-19.

"Antara yang kami lakukan termasuk di Kampung Selamat dan Kampung Bakau di mana berlakunya Kluster Bakau," katanya.

Katanya, usaha itu akan dilakukan berterusan bagi membantu memutuskan rantaian pandemik Covid-19 di kalangan penduduk di kawasan itu sehingga ia terkawal.

"Dalam keadaan sekarang, sukar untuk sektor pelancongan untuk pulih dengan segera dan sudah semestinya mengambil masa yang lama.

"Jadi kami sedang melaksanakan kempen kesedaran kepada penduduk bahawa keadaan ini akan dapat dipulihkan dengan kerjasama mereka sendiri," katanya.