Sedia kaji cadangan kembalikan Majlis Menteri Wilayah Persekutuan

Annuar (tengah) membantu seorang penerima bantuan makanan asas Yayasan Wilayah Persekutuan memasukkan sumbangan ke bonet kereta penerima.
Annuar (tengah) membantu seorang penerima bantuan makanan asas Yayasan Wilayah Persekutuan memasukkan sumbangan ke bonet kereta penerima.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sedia mengkaji cadangan mewujudkan semula Majlis Menteri Wilayah Persekutuan yang diasaskan oleh bekas menteri terdahulu, Khalid Abdul Samad.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar untuk membuat penelitian.

Menurutnya, beliau berpandangan jika pertemuan seperti itu mahu dilaksanakan semula ia perlu melibatkan lebih banyak pihak dan bukan tertumpu kepada Ahli Parlimen dari pembangkang sahaja.

"Dulu Majlis Menteri Wilayah Persekutuan ini dibuat untuk wakil rakyat kerajaan sahaja, menteri panggil untuk jumpa wakil rakyat kerajaan.

"Saya kalau boleh akan libatkan semua wakil rakyat, biar semua dilayan sama rata. Kedua KWP bukan Kuala Lumpur sahaja, ada Labuan dan Putrajaya juga jadi kita tak boleh nak buat untuk KL sahaja tapi kena buat di seluruh wilayah

" Ketiga, ia bukan eksklusif untuk wakil rakyat saja kena ada pengerusi majlis perwakilan penduduk, Ahli Lembaga Penasihat DBKL yang mungkin kita boleh libatkan secara bersama," katanya ketika ditemui selepas program penyerahan bantuan asas di Laman Yayasan Wilayah Persekutuan Kampung Baru hari ini.

Annuar berkata demikian sebagai mengulas permintaan beberapa Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk dari Lembah Pantai, Fahmi Fadzil untuk kerajaan mengembalikan Majlis Menteri Wilayah Persekutuan yang dilaksanakan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pembangkang menyuarakan pandangan mereka menggunakan saluran media berbanding ke pejabatnya untuk mengemukakan cadangan itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya semak di pejabat tak ada surat atau cadangan berkenaan perkara itu, tetapi apabila ada sidang Parlimen mereka buat publisiti.

"Saya nampak ada nakal sikit di situ tapi saya tak nak pertikai soal 'nawaitu' tapi saya melihatnya di sudut yang baik.

"Mereka boleh datang ke pejabat pada bila-bila masa. Jangan beri gambaran bila tak ada pertemuan dengan wakil pembangkang ertinya saya cuai tugas, saya tidak begitu," katanya.