Jumlah jemaah solat Jumaat di zon hijau, kuning diperluaskan

Dr Zulkifli ketika mengadakan sidang khas mengenai Garis Panduan Majlis Akad Nikah dan SOP Peluasan Kapasiti Solat Jumaat hari ini.
Dr Zulkifli ketika mengadakan sidang khas mengenai Garis Panduan Majlis Akad Nikah dan SOP Peluasan Kapasiti Solat Jumaat hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jumlah jemaah solat Jumaat diperluaskan kepada satu pertiga kapasiti dewan solat utama masjid serta surau di zon hijau dan kuning di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jumlah jemaah bagi solat fardu lima waktu di masjid dan surau di zon hijau dan kuning pula kapasiti yang dibenarkan ialah tidak melebihi 30 orang jemaah dengan penjarakkan fizikal satu meter antara jemaah.

“Bagi Wilayah Persekutuan Labuan yang kini berada di zon merah, jumlah Jemaah solat Jumaat dihadkan kepada 12 orang dan solat lima waktu tiga orang sahaja.

“Dalam masa yang sama aturan ini akan turut dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya jika wujudnya zon merah di kawasan tersebut dan keadaan sama berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengenai Garis Panduan Majlis Akad Nikah dan prosedur operasi standard (SOP) Peluasan Kapasiti Solat Jumaat petang tadi.

Dr Zulkifli berkata, bagi majlis akad nikah pula, jumlah jemputan tidak boleh melebihi 30 orang dengan mengambil kira penjarakkan satu meter tertakluk kepada premis yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Premis tersebut merangkumi pejabat agama dan masjid terpilih yang mana sama ada masjid besar atau kecil terpilih dan juga surau terpilih yang telah ditetapkan JAWI. Jurufoto turut dibenarkan dan tidak termasuk dalam 30 jemputan dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kesemua SOP ini akan berkuasa pada 6 November 2020,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-9 bersidang pada 2 November 2020 telah mencapai keputusan perluasan bilangan jemaah solat Jumaat bagi masjid dan surau.

“Kehadiran maksimum ke majlis akad nikah dalam tempoh PKPB dengan mengambil kira pandangan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.

Dr Zulkifli berkata, sejak 15 April 2020 hingga ke hari ini masjid dan surau di Malaysia dibuka secara berperingkat dengan mematuhi SOP yang ditetapkan di negeri masing-masing oleh pihak berkuasa agama negeri terdiri daripada mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri dengan nasihat dan panduan daripada KKM serta MKN.

“Dengan kerjasama jawatankuasa masjid, surau dan anak kariah, buat masa ini tidak ada lagi kes-kes yang melibatkan masjid dan surau di seluruh Malaysia. Kadar kepatuhan SOP di masjid dan surau amat cemerlang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk negeri lain ia akan tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

“Untuk tujuan penyelarasan, negeri-negeri lain boleh mengikut resolusi yang dicapai bersama dalam mesyuarat MKI sebelum ini,” katanya.

Dr Zulkifli juga menasihatkan kepada jawatankuasa masjid dan surau untuk menggunakan pendekatan yang sesuai ketika menegur jemaah yang tidak membawa sejadah dan pelitup muka dan berharap hal berkenaan diselesaikan dengan baik.

“Mungkin jawatankuasa dan masjid boleh sediakan sejadah dan pelitup muka bagi yang terlupa untuk membawanya. Saya juga mencadangkan agar jawatankuasa masjid dan surau menyediakan ruang solat khusus bagi penghantar makanan dan pemandu e-hailing serta yang bermusafir untuk menunaikan solat,” katanya.

Katanya, surau di kawasan rehat dan rawat di zon hijau dan kuning turut boleh dibuka.

Dalam sidang khas itu, beliau berkata, pihaknya akan memberikan penjelasan mengenai persoalan kewajaran cara solat berjemaah di masjid dengan melakukan penjarakkan satu meter atau merapatkan saf yang akan dimuatkan dalam laman web kementerian dan Facebook untuk kefahaman dalam masa terdekat.