Polis rampas rokok, kereta mewah RM2.5 juta

8,500 karton rokok seludup yang dirampas pasukan Batalion 5 PGA dalam satu serbuan di Taman Tasek Indah, Kluang kelmarin. - Foto Media IPK Johor
8,500 karton rokok seludup yang dirampas pasukan Batalion 5 PGA dalam satu serbuan di Taman Tasek Indah, Kluang kelmarin. - Foto Media IPK Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki dan merampas 8,500 karton rokok seludup serta dua kereta mewah semuanya dianggarkan RM2.5 juta dalam serbuan di Taman Tasek Indah, Kluang kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak Batalion 5 PGA melakukan serbuan pada jam 6.30 petang di rumah milik salah seorang suspek.

"Nilai semua rokok yang dirampas ialah RM870,000 dan dicampurkan dua kenderaan mewah jenis BMW dan Mercedes-Benz yang dirampas, semuanya bernilai RM2.5 juta.

"Kedua-dua suspek dipercayai sudah tiga atau empat bulan aktif dalam aktiviti penyeludupan rokok untuk pasaran di Kluang.

"Rumah teres satu tingkat itu dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup. Semasa ditahan, kedua-dua suspek berada di dalam rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan rokok dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 7 November ini.

"Polis Johor menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau memberitahu, semua suspek yang ditahan reman bagi kes kemalangan maut melibatkan anggota polis di Kangkar Tebrau, Ahad lalu disambung sehari lagi sehingga esok.

Dalam kejadian tersebut, Konstabel Nicholester Dadup Anak Unggat, 20, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Lans Koperal Mohammad Fadhirul Musa, 32, yang memandu MPV polis, cedera parah.

Dalam kejadian pada jam 5 pagi itu, MPV dinaiki dua anggota polis itu bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi ketika mengejar penjenayah sebelum terbalik.