Hutang kerajaan Persekutuan naik kepada RM792 bilion

Nik Azman (depan, kanan) menyerahkan Laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2019 kepada Kah Woh pada sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.
Nik Azman (depan, kanan) menyerahkan Laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2019 kepada Kah Woh pada sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hutang kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM792 bilion pada tahun lalu berbanding RM741 bilion pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, perkara itu didedahkan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dalam taklimat berhubung Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, angka itu sekali gus menjadikan nisbah hutang kepada Keluaran Negara Kasar (KDNK) berada pada paras 52.5 peratus berbanding 51.2 peratus pada 2018.

Beliau berkata, jumlah liabiliti persekutuan adalah sebanyak RM1,080 bilion bersamaan 71.5 peratus nisbah liabiliti kepada KDNK.

"Sebanyak 59.9 peratus atau RM82 bilion daripada jumlah Terimaan Pinjaman Baharu berjumlah RM138 bilion telah digunakan untuk Bayaran Prinsipal Pinjaman Dalam Negeri.

"Hanya 29.7 peratus atau RM41.15 bilion digunakan untuk tujuan perbelanjaan pembangunan. Situasi sebegini haruslah diperbaiki," katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.

Hadir sama, Naib Pengerusi PAC, Datuk Azizah Mohd Dun, ahli PAC iaitu Datuk Seri Ahmad Maslan dan Nurul Izzah Anwar.

Sementara itu, Nik Azman meluahkan kebimbangan beliau kerana hampir 60 peratus pinjaman baharu digunakan untuk membayar hutang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Hanya sebahagian kecil iaitu 29.7 peratus sahaja disalurkan kepada pembangunan.

"Jadi dalam perbincangan tadi kita cadangkan agar perbelanjaan pembangunan hendaklah digunakan secara lebih produktif supaya projek yang dibiayai mempunyai kesan berganda yang tinggi, menjana kegiatan ekonomi dan memberi lebih nilai pada wang," katanya.

Tambahnya, jika keadaan itu berterusan, berdasarkan unjuran negara dijangka terpaksa membayar hutang sebanyak RM10 bilion pada 2034 berbanding purata RM2.4 bilion ketika ini.

Menurut beliau, sejumlah RM3.9 bilion peruntukan pembangunan dan peruntukan mengurus pada tahun lalu telah disalurkan kepada 11 syarikat bagi membayar balik pinjaman yang dijamin kerajaan.

"Selain itu, peruntukan pembangunan berjumlah RM1.38 bilion disalurkan kepada dua daripada 11 syarikat yang tidak melaksanakan projek pembangunan.

"Bagi syarikat yang tiada projek pembangunan, ia tidak beri kesan berganda (kepada ekonomi), maknanya ia tidak menjana kegiatan ekonomi.

"Yang itu kita khuatir kerana walaupun ia tidak melanggar undang-undang tetapi tidak selaras dengan Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966," katanya.

Berikutan itu, katanya, pihaknya mencadangkan agar kerajaan memberikan bantuan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan yang boleh dituntut.