MKNPP tetapkan SOP di PKPB Mukim 12

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang (MKNPP) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12, Daerah Barat Daya berkuat kuasa esok sehingga 19 November depan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu diteliti melalui perbincangan kerajaan negeri bersama Pengarah MKNPP hari ini dan perincian itu akan dikemukakan kepada kerajaan Pusat.

Menurutnya, antara yang ditetapkan termasuk mengenai kawasan utama yang terlibat dengan PKPB seperti di Bayan Lepas, Bayan Baru, Queensbay, Zon Perindustrian Bayan Lepas (FTZ), Sungai Ara dan Batu Maung.

"PKPB yang akan dikuat kuasa esok membabitkan kawasan seluas 26.7 kilometer persegi dan anggaran populasi adalah berjumlah 150,000 orang.

"Pergerakan keluar masuk merentas kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan dan hanya pekerja yang mempunyai pas pekerja yang sah atau surat kebenaran daripada majikan dibenarkan untuk tujuan bekerja dan menjalankan tugas," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, pihaknya juga menetapkan hanya dua orang yang dibenarkan di dalam sesebuah kenderaan bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan serta keperluan asas, perubatan dan lain-lain barangan keperluan.

Selain itu jelasnya, individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak adalah tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.

Tambahnya, aktiviti sektor ekonomi dan industri di kawasan PKPB boleh beroperasi berdasarkan pematuhan SOP yang ditetapkan dan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres dan teksi/e-hailing adalah dibenarkan beroperasi.

Artikel Berkaitan:

"Aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal dan dijalankan secara individu dengan tidak melebihi 10 orang di kawasan sama serta terbuka adalah dibenarkan.

"Institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz dan pusat jagaan kanak-kanak perlu ditutup dalam tempoh ini," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengumumkan penugasan lapangan pihak berkaitan pada hari ini termasuk lokasi-lokasi sekatan jalan raya terlibat.

Katanya, kerajaan Pusat akan mengeluarkan perincian SOP penuh sebagai rujukan semua.

"Sehubungan itu, saya sekali lagi meminta supaya mereka yang terlibat terutamanya penduduk di Mukim 12, Daerah Barat Daya supaya terus bertenang dan mematuhi SOP pelaksanaan PKPB yang ditetapkan.

"Terus amalan 4P dan bersama-sama kita putuskan rantaian penularan pandemik Covid -19 ini," katanya.