PKPB: KPDNHEP jamin bekalan barangan keperluan mencukupi

Ain Arjuna menunjukkan bekalan minyak masak peket yang mencukupi dijual di sebuah pasar raya di Seremban hari ini.
Ain Arjuna menunjukkan bekalan minyak masak peket yang mencukupi dijual di sebuah pasar raya di Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan keperluan harian di daerah Seremban mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pihaknya juga akan memastikan barangan berkenaan terutama makanan dijual pada harga yang stabil dan munasabah.

Menurutnya, setakat ini tiada pembelian panik dilaporkan berlaku, tiada keputusan bekalan dan semuanya berada dalam keadaan terkawal.

"Pihak pengilang, pengeluar, pemborong dan peruncit yang terlibat di dalam pembekalan makanan dan barangan keperluan utama di negeri ini diingatkan untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

"Pengguna juga dinasihatkan beli barangan ikut keperluan sahaja dan tidak menyimpan stok berlebihan. Saya juga ingin sarankan supaya buat pembelian secara dalam talian sebagai langkah mengurangkan kesesakan dan pergerakan fizikal di premis perniagaan," katanya.

Ain Arjuna (kiri) memeriksa bekalan beras di sebuah pasar raya di Seremban hari ini.
Ain Arjuna (kiri) memeriksa bekalan beras di sebuah pasar raya di Seremban hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat pemeriksaan barangan keperluan harian berikutan pelaksanaan PKPB di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ain Arjuna berkata, bermula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada 18 Mac lalu sehingga semalam, sebanyak 32,213 pemeriksaan premis dilakukan membabitkan daerah Seremban, Port Dickson dan Kuala Pilah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam tempoh berkenaan sebanyak 870 aduan diterima dengan Seremban mencatatkan jumlah aduan paling tinggi iaitu 696 aduan.

"Daripada jumlah itu, aduan berkenaan transaksi atas talian paling tinggi iaitu (288 aduan) diikuti harga(277 aduan); perkhidmatan mengelirukan(91 aduan); timbang dan sukat(33 aduan) dan barang kawalan(32 aduan)," katanya.