Cekal terima hakikat suami dan dua anak sudah tiada

Shamshira memangku anak bongsunya, Adeeb ketika ditemui di rumah ibunya di Chenderong Balai, Teluk Intan hari ini.
Shamshira memangku anak bongsunya, Adeeb ketika ditemui di rumah ibunya di Chenderong Balai, Teluk Intan hari ini.
A
A
A

TELUK INTAN - “ Itu ayah, ibu, itu ayah,” itulah keletah Adeeb Hud Hafize Nizam, 2, setiap kali melihat lori-lori yang lalu di hadapan rumah mereka di Kampung SC Belt, Chenderong Balai di sini.

Tindakan anak kecil itu mengundang sebak kepada ibunya, Shamshira Mohd Norizin, 31, apabila anak bongsunya itu masih tidak mengerti bahawa ayahnya, Hafize Nizam Ali Supian, 30, yang bekerja sebagai pemandu treler meninggal dunia bersama dua abangnya, Muhammaf Afeef Rafiqie, 9, dan Arrian Nuh, 6, selepas terbabit dalam kemalangan di KM10, Jalan Malim Nawar - Kota Bharu, Gopeng, Isnin lalu.

Shamshira berkata, sehingga kini dia masih tidak percaya telah kehilangan tiga insan tersayang dalam sekelip mata ketika usia perkahwinan mencecah 11 tahun.

“Tiada perubahan atau pesanan yang ditinggalkan. Saya sempat salam dengan arwah, itulah salam terakhir kami.

“Lebih memilukan, kami akan menyambut ulang tahun perkahwinan pada 28 November ini tetapi kali ini suami dan anak-anak tiada di sisi,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di sini hari ini.

Menurutnya, dia perlu kuatkan semangat untuk besarkan satu-satunya anak mereka, Adeeb Hud.

Wan Norashikin (kanan) menziarahi Shamshira selepas simpati dengan keadaan keluarga selepas suaminya dan dua anaknya terkorban dalam nahas di Kampar, Isnin lalu.
Wan Norashikin (kanan) menziarahi Shamshira selepas simpati dengan keadaan keluarga selepas suaminya dan dua anaknya terkorban dalam nahas di Kampar, Isnin lalu.

“Saya reda dan perlu terima hakikat. Buat masa ini saya tidak boleh tengok gambar terutamanya insiden yang dikongsi dalam laman sosial kerana masih terbayang keadaan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Bila rindu saya sesekali lihat gambar mereka tetapi tidak boleh lama. Begitu juga rumah sewa kami di Taman Pelangi, Langkap, saya tiada kekuatan untuk jejak kaki ke sana kerana terlampau banyak kenangan kami,” katanya.

Shamshira berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak dan keluarga yang banyak membantu dan memberi sokongan dalam mengharungi keperitan kehilangan insan tersayang.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin yang menziarahi keluarga itu telah meluluskan Takaful Tabarru Khairat Kematian dan Kad Perak Prihatin.

“Isteri arwah adalah suri rumah yang tidak bekerja dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedia membantu dari segi permohonan bantuan am negeri serta kaunseling bagi menstabilkan kembali keadaannya setelah kehilangan insan tersayang.

“Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga akan menyiasat terlebih dahulu insiden ini sebelum bantuan bencana kerja seperti khairat kematian dan pencen diberikan,” katanya.

[Artikel berkaitan: https://www.google.com.my/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/108206]